SUNTINGAN dari laman sosial Facebook milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
SUNTINGAN dari laman sosial Facebook milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mohd Hasbi Sidek


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa semua prosedur dan proses perundangan berkaitan rundingan serta pelaksanaan dua projek saluran paip yang dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini sudah dipatuhi.

Najib dalam kenyataan di laman Facebook (FB) miliknya berkata, Lim menyebut semua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian dan bukan kepada pihak lain.

“CPPB adalah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki kerajaan China, China National Petroleum Corporation (CNPC).

“Kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomik dan jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan dengan kerajaan China,” katanya, hari ini.

Beliau dan Perdana Menteri China, Li Keqiang menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) bagi projek saluran gas itu bersama beberapa projek lain ketika membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 14 Mei 2017.

Pada majlis sama, China turut memberikan komitmen untuk mengimport barangan bernilai AS$2 trilion (RM7.95 trilion) bagi tempoh lima tahun dari Malaysia, membuat pelaburan sehingga AS$150 bilion (RM596 bilion) di Malaysia dan menawarkan 10,000 tempat bagi latihan serta pendidikan untuk rakyat Malaysia di pelbagai institut di China.

“Tidak lupa pula komitmen daripada kerajaan China membantu pekebun kecil sawit di Malaysia dengan pembelian tambahan minyak sawit daripada kita.

“Saya mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap kedua-dua projek ini, namun kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama membabitkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam berkata, Lim sepatutnya memberi lebih banyak maklumat untuk membuktikan dakwaannya hari ini berkenaan kedua-dua skandal projek terbabit.

“Dalam kenyataannya, beliau membuat tuduhan yang sangat spesifik bahawa bayaran dibuat lebih awal kepada CPPB, namun tidak kepada mana-mana syarikat lain. Tidak ada tuduhan bahawa pembayaran itu dialihkan atau salah dibayar kepada syarikat lain.

“Semakan menunjukkan bahawa CPPB adalah salah satu pembina saluran paip utama di dunia dan menyelesaikan lebih daripada 10,000 kilometer saluran paip.

“CPPB juga CNPC yang disenaraikan di nombor empat ‘2017 Fortune 500 syarikat global’ dengan pendapatan sebanyak AS$263 bilion (RM1.4 trilion) tahun lepas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 11:39 PM