Sheikh Mohamed  (tengah)   bersama kakitangan JKKNS selepas menyampaikan ceramah  Ihya Ramadan di Dewan D’Sury JKKNS.
Sheikh Mohamed (tengah) bersama kakitangan JKKNS selepas menyampaikan ceramah Ihya Ramadan di Dewan D’Sury JKKNS.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Umat Islam terutama golongan muda disarankan mendapatkan ilmu atau sesuatu fatwa berkaitan Islam daripada sumber muktabar, bukannya melalui Internet atau laman sosial yang mengelirukan.

Ahli Majlis Fatwa Mesir, Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim, 35, berkata, maklumat atau fakta yang diperoleh melalui Internet tidak tepat dan boleh mengelirukan.

Menurutnya, wujud segelintir pihak yang suka mempertikaikan keputusan badan rujukan agama dengan mengeluarkan fatwa sendiri.

Katanya, kerajaan melalui agensi agama Islam seperti pejabat mufti, agama atau Majlis Agama Islam Negeri sudah menyediakan saluran khas atau laman web rasmi sebagai saluran untuk mendapatkan maklumat atau sumber rujukan terbaik.

“Jangan sekali kita mencari sumber lain atau Internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan Islam.

“Kerajaan menyediakan saluran khas dan melantik mereka yang pakar dalam menyediakan perkhidmatan hukum hakam untuk kepentingan masyarakat.

“Justeru itu, saya gesa umat Islam hormat institusi itu untuk memastikan tidak timbul pelbagai isu atau berhubung sesuatu fatwa yang akhirnya boleh mengeliru dan mencetus keresahan dalam masyarakat.

“Tindakan merujuk sumber ilmu yang tidak muktabar mesti dihentikan daripada menjadi budaya bagi mengelakkan perkara batil (salah) diamalkan dan terus tersebar,” katanya selepas menyampaikan Ceramah Perdana Ihya Ramadan di sini, semalam.

Program dua jam itu dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan (JKKNS).

Seramai 200 peserta terdiri kakitangan kerajaan dan pelajar sekolah menengah sekitar daerah ini hadir dalam program itu.

Sheikh Mohamed yang fasih berbahasa Melayu loghat Kelantan juga menggesa masyarakat negara ini memberikan sokongan padu kepada barisan kepemimpinan baru Pakatan Harapan (PH) dalam menerajui negara untuk kepentingan rakyat dan syiar Islam.

Beliau berkata, imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam cukup hebat dan baik daripada kaca mata kalangan negara Arab termasuk di Mesir.

“Oleh itu, rakyat khususnya umat Islam negara ini harus berbangga dengan kedudukan negara ini dan perlu terus memberikan sokongan terhadap kerajaan baru supaya mereka boleh laksanakan tugas untuk kemajuan dan keharmonian rakyat serta ketinggian syiar Islam.

“Saya pesan kepada semua bahawa kita kena kekalkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang hebat di dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 7:30 AM