MUHAMMAD Zakaria (duduk  kanan) dan Mustapa (duduk tengah) bersama sebahagian peserta bengkel solat.
MUHAMMAD Zakaria (duduk kanan) dan Mustapa (duduk tengah) bersama sebahagian peserta bengkel solat.
Roslan Ibrahim

Kuala Lumpur: Kejahilan dan kurang ilmu mengenai solat menyebabkan ramai membuat ‘fatwa’ sendiri sehingga mengelirukan umat Islam terutama yang baru berjinak-jinak untuk melakukan ibadat itu.

Presiden Angkatan Dakwah Antarabangsa Malaysia (ADAM), Datuk Muhammad Zakaria, berkata pelbagai ‘fatwa’ yang dikeluarkan dalam media baru kadangkala mengelirukan kerana mereka yang berbuat demikian tidak mempunyai kepakaran dalam bidang agama.

Beliau berkata, fenomena itu menyebabkan mereka yang baru belajar untuk bersolat keliru kerana pelbagai pendapat dan ‘fatwa’ yang dibaca melalui Internet.

“Justeru, saya meminta mereka yang baru belajar untuk solat berguru dengan ustaz sama ada di masjid atau surau, bukannya belajar melalui Internet.

“Ini lebih baik kerana sebarang kemusykilan, mereka akan dapat berinteraksi secara dua hala, bukannya menerima secara membuta tuli sehingga menyebabkan solat mereka sia-sia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengendalikan Bengkel Solat - Imam dan Makmum anjuran Badan Khairat New Straits Times Press (NSTP) di Balai Berita, di sini, semalam.

Seramai 80 kakitangan NSTP dan Media Prima mengambil bahagian turut membawa bersama anak-anak remaja sempena cuti sekolah yang bermula semalam.

Bengkel solat itu dibantu Ustaz Muhammad Salman Alfarisi. Turut hadir, Pengerusi Badan Khairat NSTP merangkap Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Muhammad Zakaria memberi contoh mengenai solat sunat selepas Subuh yang banyak dipertikaikan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Katanya, jika seseorang itu memang tidak pernah meninggalkan solat sunat, tapi apabila dia hadir untuk solat Subuh berjemaah di masjid atau surau, bilal sudah iqamah, seseorang itu boleh melakukan solat sunat itu selepas solat fardu.

“Bagi mereka yang terlepas solat sunat Fajar dibenarkan qada solat berkenaan, sebaik-baiknya selepas solat Subuh.

“Malah, Imam Syafie membenarkan qada mana-mana solat pada waktu yang diharamkan bersolat termasuk solat sunat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:11 AM