PENGURUS Besar Econsave Cash & Carry Cawangan Selatan, Mas Imran Adam (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada Dazar di Batu Pahat. FOTO ESSA ABU YAMIN
PENGURUS Besar Econsave Cash & Carry Cawangan Selatan, Mas Imran Adam (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada Dazar di Batu Pahat. FOTO ESSA ABU YAMIN
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: "Dulu saya berkhidmat sebagai jurugambar sambilan akhbar kini saya terpaksa menjual kamera kesayangan bagi menampung kos rawatan kanser dan keperluan harian kami sekeluarga," ujar Dazar Suarman, 71.

Menurutnya, selepas menamatkan perkhidmatan sebagai anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dia bekerja sambilan sebagai jurugambar di Johor Bahru pada 2000.

"Saya akui rindu dengan kamera yang diusung setiap kali bertugas sebagai jurugambar, namun terpaksa menjualnya demi menampung kos rawatan dan keperluan setiap bulan.

"Kamera berkenaan juga menjadi punca rezeki kami sekeluarga dahulu selain mengharapkan duit pencen PDRM yang saya peroleh sebanyak RM1,800 setiap bulan, katanya ketika ditemui dia rumahnya di Kampung Sungai Dulang Darat, di sini.

Dazar berkata, lebih memilukan isterinya, Rufiah Karsan, 68, hanya mampu terlantar kerana menderita kanser payudara sejak 2009 manakala anak sulungnya, Sariah, 38, orang kurang upaya (OKU) kerencatan akal selain bisu dan pekak.

"Sebelum ini saya hanya berulang-alik ke klinik dan hospital kerajaan namun sejak empat bulan lalu, saya mengalami kesakitan luar biasa di bahagian pinggang dan perut sehingga tidak berdaya lagi.

"Apabila pemeriksaan dibuat di sebuah hospital swasta, saya disahkan menghidap kanser perut dan perlu membuat rawatan susulan.

"Namun selepas ini, saya perlu kembali ke hospital kerajaan semula kerana tidak mampu dengan kos yang tinggi di hospital swasta," katanya.

Menurut Dazar, dia mendapatkan rawatan di empat pusat perubatan yang berbeza iaitu di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, Hospital Pantai Batu Pahat, Hospital Pakar KPJ Puteri dan Oncology Clinical & Daycare Centre.

"Kini doktor hanya memberikan ubat menahan sakit, sementara mendapatkan ubat sebenar yang hanya diperoleh di luar negara bernilai hampir RM3,000 untuk kegunaan selama seminggu, katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Cawangan Selatan, Mas Imran Adam berkata pihaknya menghulurkan bantuan keperluan harian untuk meringankan beban Dazar sekeluarga.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan di akaun Maybank milik Dazar, 151593093317.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 10:17 AM