Mary Victoria Dass

Ulu Tiram: "Ada yang memujuk kami untuk keluar dari kawasan ini untuk tinggal di flat dan sebagainya, namun perancangan kami adalah tinggal di sini sampai bila-bila," kata Mohd Farid Md Yusof, 30, di Kampung Baru Sungai Johor di sini.

Mohd Farid berkata, dia yakin sebelum anak sulungnya memulakan sesi persekolahan tadika dalam tempoh dua tahun akan datang, dia mampu memperbaiki kehidupan keluarga mahupun keadaan tempat tinggalnya.

Menurutnya, malah dia juga bercadang untuk menceburi bidang pertanian menerusi pengalaman bekerja di kebun kelapa sawit dan dusun milik pengusaha di situ.

Katanya, dia memahami kesulitan dialami isteri, Norazlina Abdullah, 21 dan tiga anaknya buat permulaan namun yakin nasib mereka akan berubah secara berperingkat.

"Saya menolak sebarang tawaran tempat penginapan di luar kawasan ini kerana saya dan isteri ingin berusaha sendiri dan kami cukup bahagia di pondok ini serta tidak mengganggu orang lain.

"Namun kami alu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin menawarkan bantuan menambah baik keadaan pondok kami ini demi keselesaan anak.

"Alhamdulillah, sejak berpindah ke sini kami tidak pernah terputus bekalan makanan kerana ada jiran yang prihatin menyalurkan makanan malah saya juga menggunakan upah kerja kebun untuk membeli susu anak, keperluan dapur dan sebagainya," katanya.

Mohd Farid berkata, dia tidak menjangka kisahnya di Harian Metro menarik perhatian ramai termasuk netizen yang mendoakan kesejahteraan keluarganya.

Menurutnya, malah dia juga berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Pasaraya Econsave Cash and Carry yang tampil menghulurkan sumbangan.

"Saya amat terharu dengan kunjungan ramai ke pondok kami yang serba kekurangan ini.

"Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik mereka dan saya juga berpegang kepada pesanan ramai supaya tidak mengabaikan persekolahan anak pada masa depan," katanya selepas menerima sumbangan barangan dapur dan keperluan anak disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry Mas Imran Adam dan wakil Jejak Asnaf MAIJ, Mohd Nasir Ishak.

Mohd Farid ketika menerima perhatian Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Pasaraya Econsave Cash and Carry di Kampung Baru Sungai Johor di Ulu Tiram. FOTO Mary Victoria Dass
Mohd Farid ketika menerima perhatian Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Pasaraya Econsave Cash and Carry di Kampung Baru Sungai Johor di Ulu Tiram. FOTO Mary Victoria Dass

Mohd Nasir berkata, pihaknya juga menyampaikan borang permohonan bantuan sara hidup kepada Mohd Farid dan isteri.

"Kami difahamkan tanah didiami oleh keluarga berkenaan milik keluarga mereka yang memiliki beberapa penama.

"Mohd Farid boleh memohon bantuan pembinaan rumah sekiranya pembahagian geran tanah itu dilakukan mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan barangan bernilai RM1,000 kepada keluarga berkenaan.

"Diharap sumbangan berkenaan mampu meringankan beban keluarga terbabit," katanya.

Semalam, Harian Metro mendedahkan kisah kesempitan hidup sepasang suami isteri mengambil keputusan untuk membina pondok dengan hanya menggunakan barangan terpakai dan kitar semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 2:52 PM