KHOO Chin Hwa, menerima kotak limau disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry Mas Imran Adam. FOTO Mary Victoria Mass
KHOO Chin Hwa, menerima kotak limau disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry Mas Imran Adam. FOTO Mary Victoria Mass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Setiap tahun, kami sekeluarga hanya menyambut Tahun Baru Cina secara ala kadar hasil jualan kotak dan barangan lusuh yang tidak seberapa," kata Khoo Chin Hwa.

Chin Hwa, 51, berkata, pendapatan hariannya sebagai pengutip barangan lusuh tidak tetap dan bergantung kepada keadaan cuaca selain pencarian.

Menurutnya, dia mula mencari barangan lusuh seawal jam 8 pagi sehingga petang di sekitar Taman Pelangi Indah di sini, selepas menyiapkan makan minum bagi ahli keluarga.

"Saya cacat mata kiri kerana masalah kornea sejak beberapa tahun lalu malah memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

"Memang saya kurang selesa, terutama ketika cuaca panas kerana keadaan mata saya yang tidak boleh lama terdedah kepada cahaya.

"Namun saya terus mencari rezeki bagi meringankan beban keluarga kerana suami juga hanya bekerja biasa," katanya.

Menurutnya, dia hanya memperoleh pendapatan harian RM20 hingga RM30 malah ada kalanya dia dibantu anak.

Katanya, dia menggunakan kereta lama keluarga untuk mencari barangan lusuh.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana pada tahun ini, saya terpilih untuk menerima baucar beli-belah RM200 tajaan Pasaraya Econsave Cash And Carry yang membolehkan kami membeli beberapa barangan keperluan sebagai persiapan sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

Sementara itu, Jenny Tiew, 62, tidak menyangka menerima baucar berkenaan dan berpeluang untuk membeli-belah bersama keluarga yang tinggal di Taman Johor Jaya.

"Saya berterima kasih kepada Pasaraya Econsave Cash And Carry yang mengedarkan baucar kepada golongan kurang bernasib baik sempena Tahun Baru Cina.

"Saya menggunakan baucar berkenaan untuk membeli barangan dapur selain beberapa barangan keperluan lain," katanya.

Baucar disampaikan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry Mas Imran Adam di cawangan Permas Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pengedaran baucar sempena Tahun Baru Cina itu antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat demi meringankan beban golongan penerima.

"Program ini diadakan di seluruh negara sebagai tanda prihatin terhadap golongan berkenaan.

"Setiap penerima diberikan baucar bernilai RM200 dan kami harap mereka dapat meraikan perayaan ini dengan lebih ceria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 4:32 PM