ANTARA rumah yang terjejas selepas dilanda banjir lumpur. FOTO Muhaizan Yahya
ANTARA rumah yang terjejas selepas dilanda banjir lumpur. FOTO Muhaizan Yahya
Zahratulhayat Mat Arif


LELAKI bersama dua anak saudaranya terpaksa panjat bumbung kereta dan menunggu selama hampir tiga jamsementara bantuan tiba dalam kejadian banjir kilat berserta lumpur yang melanda Kampung Temerlok, Taiping, semalam.

Abdul Rahim Jani, 50, berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, dia sedang mengalihkan keretanya ke tempat yang lebih tinggi berikutan hujan semakin lebat dan paras banjir semakin meningkat.

"Memang selalu banjir di sini tetapi tidaklah seteruk ini di mana sebelum ini air hanya bertakung di depan rumah tetapi kali ini, saya rasa tidak sedap hati sebab hujan turun dari 2 petang dan tidak menunjukkan sebarang tanda berhenti.

"Saya mengalihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi dan kemudian cuba mengalihkan kereta Nissan Sunny milik bapa saudara saya yang kebetulan tidak ada di rumah ketika itu dan ketika itulah air bersama lumpur melanda dengan deras hingga mengakibatkan kereta hampir ditenggelami," katanya.

Abdul Rahim yang berasal dari Kulim, Kedah dan sedang bercuti di rumah ibu mentuanya di sini berkata, dia bersama tiga anak saudara berusia 13 dan 15 tahun terpaksa naik atas bumbung kereta untuk menyelamatkan diri.

"Kami tidak berani turun daripada kereta kerana takut mungkin ada lagi arus banjir deras melanda hingga menghanyutkan kami dan terpaksa menunggu di atas kereta sehingga rakan datang membantu," katanya.

Menurutnya, susulan banjir yang berlaku itu keluarganya mengalami kerugian yang agak besar termasuk tiang rumah mentuanya hampir tumbang, perabit rosak serta tiga kereta ayah saudaranya turut mengalami kerosakan ditenggelami banjir.

"Harap pihak kerajaan dapat tampil dan memberi bantuan meringankan beban mangsa banjir apatah lagi kita bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak Ir Dr. Ahmad Anuar Othman berkata, banjir kilat bersama lumpur itu berlaku akibat hujan lebat yang dicatatkan dan melebihi 100mm sejam.

"Hujan bermula 2 petang hingga lewat malam tadi dan di kawasan ini terdapat tiga sungai utama iaitu Sungai Trong, Sungai Kroh dan Sungai Bembam.

"Pada jam 3 petang paras air sungai dicatatkan semakin meningkat dan pada masa sama berlaku fenonema air pasang menyebabkan air melimpah ke kawasan Kampung Temerlok hingga ada yang menenggelami rumah penduduk ke paras bumbung," katanya.

Menurutnya, bagi menangani masalah banjir kilat itu pihaknya mencadangkan pembinaan tebatan banjir dikawasan termasuk mendalamkan sungai dan membina benteng yang lebih tinggi untuk penyelesaian jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 9:11 PM