Raja Noraina Raja Rahim


“SUAMI hanya mampu melihat kereta ditenggelami air sehingga paras bumbung.

“Semua penumpang tidak dibenarkan ke tempat letak kereta oleh pihak KTM disebabkan faktor keselamatan,” kata Norhazni Hamzah, 47, mengenai kejadian banjir kilat yang melanda Stesen KTM Sungai Gadut di Seremban, malam tadi.

Kereta Proton Iswara milik suaminya yang ditinggalkan di stesen berkenaan rosak selepas ditenggelami air akibat banjir kilat yang berlaku kira-kira 6 petang.

Hujan lebat bermula 4 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Sungai Gadut dinaiki air pada paras 0.9 meter hingga 1.5 meter.

Menurut Norhazni, suaminya mengetahui kejadian banjir kilat itu ketika dalam perjalanan pulang menaiki komuter dari Kuala Lumpur.

“Setiap hari dia berulang alik dari Seremban ke tempat kerja menaiki komuter sejak lima tahun lalu. Apabila mengetahui kejadian itu, saya risau keadaan kereta suami.

“Suami beritahu sebaik dia tiba di stesen itu keretanya sudah separuh tenggelam tetapi mereka tidak dibenarkan keluar kerana hujan lebat dan paras air semakin naik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Selain itu, Hisham Atan, 49, yang menetap di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, berkata, kejadian banjir kilat itu adalah kali pertama berlaku di kawasan stesen berkenaan.

Dia yang bekerja di bank di Kuala Lumpur meninggalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish di tempat letak kereta stesen berkenaan untuk menaiki komuter ke tempat kerja sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Operasi KTM Bahagian Selatan, Osman Daud berkata, sebanyak 89 kereta, 28 motosikal dan sebuah lori terbabit dalam kejadian itu.

“Air naik mendadak menyebabkan kawasan itu tidak dapat dimasuki dan semua kenderaan terkandas. Air hanya surut pada waktu malam.

“Disebabkan itu, kita menasihati pemilik supaya meninggalkan kenderaan mereka di sini dan datang pagi ini untuk proses mengambil semula kenderaan masing-masing,” katanya.

Hujan lebat yang melanda daerah ini semalam mengakibatkan beberapa laluan di Sungai Gadut, Jalan Seremban-Tampin, Kawasan Perindustrian Ringan Senawang dan KTM Sungai Gadut dilanda banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 12:48 PM
SEBAHAGIAN kereta yang terjejas akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di KTM Sungai Gadut, Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SEBAHAGIAN kereta yang terjejas akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di KTM Sungai Gadut, Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman