KEADAAN rumah penduduk di Sik yang terjejas dalam kejadian banjir kilat. FOTO Ihsan APM
KEADAAN rumah penduduk di Sik yang terjejas dalam kejadian banjir kilat. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Seramai 30 mangsa terdiri dari tujuh keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau, Sik, selepas banjir kilat melanda tiga kampung di daerah itu, malam tadi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, kampung terbabit adalah Kampung Landai, Kampung Pinang dan Kampung Melaka.

Beliau berkata, banjir kilat berlaku akibat hujan lebat berterusan selama lebih dua jam di beberapa daerah di negeri ini bermula petang tadi.

"Dua keluarga di Kampung Landai dipercayai terperangkap selepas rumah mereka yang ditenggelami air dalam banjir kilat sejak jam 8 malam.

"Kejadian itu turut menyebabkan dinding rumah mangsa runtuh, namun mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba dan dibantu penduduk pada jam 9 malam tadi," katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata, PPS SK Gulau dibuka pada jam 10.30 malam dan menempatkan tujuh keluarga yang membabitkan 30 mangsa dari tiga kampung di situ.

Sementara itu, dalam kejadian di Kuala Muda, dua mukim iaitu Gurun dan Mukim Semeling turut ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat akibat hujan lebat selama lebih dua jam.

Saifuddin berkata, lebih 10 rumah di Mukim Gurun membabitkan tiga kampung iaitu di Kampung Cengai Sungai Ibor (lapan rumah), Kampung Sungai Bongkok (1 rumah) manakala di Kampung Batu 3 (masih dalam siasatan).

"Di Mukim Semeling pula menbabitkan Kampung Sungai Tok Pawang iaitu 20 rumah yang terjejas akibat banjir kilat.

"Paras air meningkat setinggi 0.3 hingga 0.5 meter namun setakat ini tiada PPS dibuka di kawasan itu," katanya.

Tambah beliau, trend air kini semakin surut tetapi hujan masih renyai namun pemantauan sedang dilakukan anggotanya.

Dalam pada itu katanya, hujan lebat melebihi dua jam turut menyebabkan air bertakung secara mendadak dan menenggelamkan jalan utama di hadapan Taman Jelutong di Changlun, daerah Kubang Pasu.

Beliau berkata, paras air naik di antara 0.3 meter hingga 0.5 meter sehingga berlaku kesesakan jalan raya di kedua-dua laluan Jitra - Changlun sejauh tujuh kilometer.

"Bagaimanapun setakat ini tiada pemindahan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada pusat pemindahan dibuka," katanya.

Berikutan itu, orang ramai diingatkan agar berhati-hati dan melaporkan sekiranya rumah mereka ditenggelami paras air yang tinggi untuk urusan pemindahan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 12:37 AM