Sharifah Nazirah Sayed Jamaludin (tengah) mempromosi teh aisnya dengan gaya tersendiri di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Sharifah Nazirah Sayed Jamaludin (tengah) mempromosi teh aisnya dengan gaya tersendiri di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin

PENGUNJUNG Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar pasti tertarik dengan keramahan dan kelembutan seorang gadis mempromosikan teh ais di gerainya.

“Abang ‘handsome’, kakak lawa macam Neelofa tu jemput singgah beli teh ais di sini, satu RM3 saja,”.

Begitulah pujukan Sharifah Nazirah Sayed Jamaludin, 18, berulang kali tanpa jemu kepada orang ramai yang melalui hadapan gerainya.

Ternyata, cara berkenaan membawa rezeki kepadanya apabila gerainya menjadi tumpuan.

Setiap hari mereka mampu menjual sehingga 1,500 bungkus teh ais.

Sharifah Nazirah berkata, dia tidak menyangka keramahannya menjadi perhatian dan popular sekelip mata.

“Saya memang begini orangnya sejak dulu lagi dan ia bukan dibuat-buat.

“Mungkin kerana itu saya dijemput pemilik gerai, Afwan Zaidi Razali, 35, yang juga bapa saudara, untuk membantu di gerai mereka sepanjang Ramadan ini,” katanya yang berasal dari Maluri, Kuala Lumpur.

Aksi bersahaja Sharifah Nazirah turut dirakam dan dimuatnaik di Facebook oleh pelanggan menyebabkan ia tular di media sosial.

Katanya, niatnya sekadar membantu bapa dan ibu saudara, Hamidah Ariffin, 34, berniaga di samping menambahkan pendapatan untuk hari raya serta melanjutkan pelajaran.

“Jika tidak membantu mereka, saya mungkin menghabiskan masa di rumah di Kuala Lumpur saja bulan puasa ini,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane Perkasa, Kuala Lumpur itu akan menyambung pengajiannya ke peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Kuantan selepas Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 3:55 PM