KERATAN Harian Metro kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh, Bagan Datuk, Khamis lalu.
KERATAN Harian Metro kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh, Bagan Datuk, Khamis lalu.
Farah Suhaidah Othman


IBU kepada tiga kanak-kanak yang maut dikelar dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh, Bagan Datuk, Khamis lalu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Zuraidah Md Ali, 35 putus ibu jari kanan, manakala pergelangan tangan kirinya hampir putus akibat diserang lelaki berusia 37 tahun yang bersenjatakan parang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, ibu mangsa dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) selepas kejadian itu berlaku sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama bagi menjalani pembedahan.

Katanya, mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan menyambung pergelangan tangan kiri.

“Polis ada melawat mangsa di hospital berkenaan bagi bertanyakan keadaannya dan belum mengambil keterangan mangsa.

“Kita mengutamakan rawatan mangsa terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

NSTP sebelum ini melaporkan, tragedi pada 1 Ramadan itu mengorbankan tiga beradik, Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2; Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.

Dalam kejadian itu, selain Zuraidah, turut cedera, anak sulungnya Nur Zuryn Faziera, 9, yang cedera di kepala dan tangan kanan akibat ditetak.

Rakan sekolah Nur Zuryn Faziera dikenali sebagai Aina,9, dan seorang guru agama Redhuan Embi, 32, turut dicederakan suspek.

Yahya berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selain ujian air kencing turut mendapati positif syabu dan ganja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 7:18 PM