AHLI Parlimen Bagan Serai dari Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. FOTO Ihsan Pejabat MB
AHLI Parlimen Bagan Serai dari Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. FOTO Ihsan Pejabat MB
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


KHABAR angin bertiup kencang mengenai kemungkinan Ahli Parlimen Bagan Serai dari Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh terdekat.

Desas-desus itu mulai tersebar sejak pagi tadi di kawasan Parlimen ini mengenai hasrat Ahli Parlimen selama dua penggal berkenaan mahu menyokong Kerajaan Persekutuan baharu di bawah PH.

Lebih mengejutkan, satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa bekas pegawai khas beliau yang juga adiknya, Noor Azman bakal mengumumkan keluar UMNO, yang turut dikatakan disebar pihak tertentu.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Dr Noor Azmi bagaimanapun mengakui terkejut mendengar dakwaan spekulasi itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya, beliau hanya memaklumkan akan bertemu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kesemua Ahli Parlimen BN lain di Kuala Lumpur, malam ini.

“Lompat parti? Masuk Harapan (PH)? No comment. Saya kena fokus untuk jumpa (Ahmad) Zahid malam ini di KL,” katanya.

Sementara itu, Noor Azman ketika dihubungi juga enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi membabitkan dirinya dan Ahli Parlimen BN berkenaan.

“Tunggu pertemuan (dengan Ahmad Zahid) malam ini, apa perkembangan akan saya maklum lain,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr Noor Azmi mengekalkan kerusi Parlimen Bagan Serai dengan majoriti 172 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 6:33 PM