DR Noor Azmi bercakap kepada media di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DR Noor Azmi bercakap kepada media di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ahmad Suhael Adnan


AHLI Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menafikan ada menawarkan kerusinya untuk ditandingi bakal Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Noor Azmi berkata, beliau tidak pernah bertemu atau menghubungi Anwar bagi membincangkan perkara berkenaan.

Malah, beliau juga tidak bercadang mengosongkan kerusi Parlimen berkenaan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun jika diminta berbuat demikian oleh mana-mana pihak, termasuk Anwar.

“Bukan saya. Saya tak pernah bertemu dengannya (Anwar). Tak dihubungi oleh sesiapa pun.

“Setakat ini saya kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas dan fokus saya adalah Bagan Serai,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik sumber sebagai berkata, seorang Ahli Parlimen Bebas dari Perak dikatakan sedia menawarkan kerusi kepada Anwar.

Laporan itu antara lain menyebut, Ahli Parlimen yang sebelum ini daripada Barisan Nasional (BN), membuat tawaran itu dalam satu pertemuan dengan Anwar, baru-baru ini.

Noor Azmi memenangi kerusi Parlimen Bagan Serai atas tiket BN-UMNO pada PRU-14, sebelum mengumumkan keluar parti pada 24 Jun lalu.

Seorang lagi Ahli Parlimen yang menang atas tiket BN-UMNO adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang keluar parti dua hari selepas Noor Azmi berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 5:19 PM