DR Noor Azmi mengakui kecewa dengan UMNO Bahagian Bagan Serai pada sidang media, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
DR Noor Azmi mengakui kecewa dengan UMNO Bahagian Bagan Serai pada sidang media, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


FOKUS masalah UMNO dan henti cabar mencabar. Demikian kata Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ditujukan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau membidas cabaran Ahmad Zahid supaya Ahli Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti selepas Barisan Nasional (BN) gagal membentuk kerajaan supaya meletakkan jawatan.

Dr Noor Azmi berkata, sebagai presiden, Ahmad Zahid perlu memfokuskan masalah dalaman UMNO yang bergolak dan tidak perlu memikirkan lagi segelintir kecil membabitkan tiga Ahli Parlimen yang keluar daripada parti itu, baru-baru ini.

“Hentikanlah cabar-mencabar kami untuk melepaskan jawatan, lebih elok fokus kepada masalah dalaman UMNO yang kini bergolak hebat.

“Tiada termaktub dalam undang-undang jika saya sebagai Ahli Parlimen apabila keluar parti, saya perlu meletakkan jawatan.

“Tindakan saya keluar parti lebih kepada masalah dalaman yang berlaku dengan UMNO Bahagian Bagan Serai.

“Kini saya memfokuskan untuk terus berkhidmat dan berbakti atas amanah diberikan rakyat seperti saya buat lima tahun dahulu,” katanya pada sidang media khas di Bagan Serai, hari ini.

Desakan Ahmad Zahid supaya Ahli Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti selepas BN gagal membentuk kerajaan supaya meletakkan jawatan dinyatakan pada sidang media selepas beliau mempengerusikan buat kali pertama mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebagai Presiden parti itu, malam kelmarin.

Beliau berkata, ia kerana kemenangan diraih Ahli Parlimen UMNO yang bertanding atas tiket BN bukan atas faktor peribadi atau kapasiti sendiri.

Justeru, katanya, jika Ahli Parlimen berkenaan bermaruah mereka hendaklah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan sanggup menghadapi pilihan raya kecil (PRK) jika diadakan.

Setakat ini, tiga Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Selain Dr Noor Azmi, dua yang lain ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Dr Noor Azmi menafikan dakwaan akaun bank peribadi dan akaun rasmi Ahli Parlimennya dibekukan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagaimana tular di media sosial, baru-baru ini.

"Kedua-dua akaun saya tiada sebarang masalah dan saya yakin ia (berita menjadi tular) bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya disebabkan tindakan saya umum keluar daripada UMNO pada 24 Jun lalu.

“Jadi keputusan saya itu dikaitkan dengan kemungkinan akaun saya dibekukan disebabkan terbabit kes disiasat pihak berkuasa,” katanya.

Beliau mengesahkan belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH), sebaliknya akan terus kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas ketika ini.

“Kalau orang mengata saya keluar UMNO disebabkan kebendaan dan pangkat, itu silap.

“Keputusan dibuat atas rasa kekecewaan terus dipinggirkan kepemimpinan UMNO bahagian sejak lima tahun lalu sehingga saya merasakan seperti berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bebas sebelum ini (walaupun seorang wakil rakyat BN pada ketika itu).

“Apapun keputusan dibuat, saya lebih memikirkan masa depan rakyat Bagan Serai dan saya yakin keputusan dibuat akan menguntungkan mereka kerana kemenangan saya pada PRU-14 atas pilihan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 10:53 PM