MUSA Aman (tengah) ketika sidang media, di Sri Gaya, Kota Kinabalu. -Foto EDMUND SAMUNTING
MUSA Aman (tengah) ketika sidang media, di Sri Gaya, Kota Kinabalu. -Foto EDMUND SAMUNTING
Wartawan NSTP


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, malam ini.

Perkara itu dinyatakan Musa kepada media sejurus tiba di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di Kota Kinabalu, selepas menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, petang tadi.

“Jam 8.30 malam,” katanya ketika ditanya media mengenai bila beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Terdahulu, Musa meninggalkan Sri Gaya kira-kira jam 3.30 petang tadi menuju ke Istana Negeri sebelum kembali ke Sri Gaya, kira-kira sejam kemudian.

Terdahulu, Musa mengadakan sidang media khas di Sri Gaya, berhubung kerjasama 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan dua ADUN daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah iaitu 31 kerusi daripada 60 DUN.

Sementara itu, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, parti itu yang mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, bekerjasama dengan BN untuk menubuhkan kerajaan demi kestabilan negeri ini.

Beliau yang juga ADUN Tambunan berkata, parti diketuainya itu tidak bergabung dengan BN, sebaliknya hanya bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri di Sabah.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan seorang lagi wakil rakyat STAR, Robert Tawik @ Nordin yang juga ADUN Bingkor.

“Bagi pihak STAR, saya dan Robert membuat keputusan untuk bekerjasama dengan 29 ADUN BN untuk menubuhkan kerajaan.

“STAR sebenarnya bukan menyertai BN tetapi kami bergabung untuk menubuhkan kerajaan. Semua ini untuk kestabilan negeri ini,” katanya.

BN Sabah kini memiliki 29 kerusi DUN sekali gus mempunyai majoriti mudah 31 kerusi daripada 60 untuk membentuk kerajaan susulan kerjasama dengan STAR.

Berita berkaitan

[UPDATE] 5 ADUN UPKO nafi keluar BN

Kemelut di Sabah makin rumit [METROTV]

'Madius Tangau jumpa Shafie Apdal [METROTV]'

'Dah sampai istana tapi tak boleh masuk'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 6:24 PM