Team NSTP


PEMBENTUKAN kerajaan negeri baharu di Sabah menyaksikan persaingan sengit apabila Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) masing-masing ‘bermain’ dengan bilangan wakil rakyat dimiliki mereka.

BN Sabah yang memiliki 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mendakwa mempunyai majoriti mudah 31 kerusi apabila membentuk kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memiliki dua kerusi DUN.

Sebelum itu, WARISAN bersama PKR dan DAP dilaporkan akan menubuhkan kerajaan di Sabah selepas Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengumumkan parti itu keluar BN dan membawa lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka untuk menyertai pakatan terbabit.

Bagaimanapun, lima ADUN terbabit, Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Bobbey Ah Fang Suan (Nabawan), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Masiung Banah (Kuamut) menyatakan pendirian kekal dalam BN.

Dalam sidang media khas dihadiri semua 29 ADUN BN termasuk lima dari UPKO serta dua ADUN Star di di Sri Gaya, di Kota Kinabalu, hari ini, Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata BN kini memiliki 31 kerusi DUN apabila bekerjasama dengan dua ADUN STAR.

Katanya, ia bermakna mereka mendapat majoriti mudah 31 kerusi daripada 60 DUN untuk membentuk kerajaan di Sabah dan berharap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin memberikannya peluang untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman bergambar beramai selepas sidang, di Sri Gaya, Kota Kinabalu. Foto NSTP/EDMUND AMUNTING.
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman bergambar beramai selepas sidang, di Sri Gaya, Kota Kinabalu. Foto NSTP/EDMUND AMUNTING.

“Kita bersama lima ADUN UPKO di sini hari ini untuk bersama membentuk kerajaan. Sekarang ini kita menunggu sahaja (perkembangan) dari istana,” katanya.

Musa kemudian meninggalkan Sri Gaya menuju ke ke Istana Negeri dipercayai bagi mengadap Yang di-Pertua Negeri berhubung pembentukan kerajaan.

Terdahulu, Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau mendakwa lima ADUN UPKO bersetuju untuk menuruti apa saja ketetapan kepemimpinan parti itu yang dicapai menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan berhubung keputusan untuk membentuk kerjasama dengan WARISAN.

“Mereka (lima ADUN UPKO) bersetuju dengan perkara ini (menyertai kerjasama dengan WARISAN) awal tadi,” katanya selepas mesyuarat tergempar parti itu yang bagaimanapun tidak dihadiri semua lima ADUN terbabit.

Setengah jam kemudian, BN Sabah mengumumkan kerjasama dengan STAR dan lima ADUN itu kekal dalam BN, sekali gus memiliki majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Berita berkaitan

'Madius Tangau jumpa Shafie Apdal [METROTV]'

'Dah sampai istana tapi tak boleh masuk'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 3:57 PM