Datuk Seri Azalina Othman Said. FOTO AMIR MAMAT
Datuk Seri Azalina Othman Said. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat
am@hmetro.com.my


Melaka: Kerajaan perlu mengadakan perbincangan terbuka berhubung keputusan kelayakan mengundi 18 tahun yang akan diguna pakai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana ketika ini golongan terbabit dilihat terlalu ghairah memilih pemimpin mereka pada PRU-15 khususnya apabila cadangan mengenainya diluluskan oleh Dewan Rakyat tahun lalu.

"Isu ini agak kritikal yang perlu dilihat serius oleh kerajaan. Rata-rata anak muda menganggap keputusan itu (mengundi 18 tahun) adalah hak mereka dan mereka mahu suara mereka didengari.

"Kalau kita kaji apa disuarakan golongan itu di media sosial, kita boleh lihat gerakan akar umbi dalam kalangan belia ini agak negatif. Justeru, sewajarnya kerajaan peka dengan kehendak mereka selain menghormati keputusan dibuat di Dewan Rakyat," katanya selepas menutup Program Voice Of Gap anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, di Perkampungan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Melaka yang juga Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Wira Latipah Omar dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Haryaty Hamdzah.

Semalam, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, menerusi sebuah portal media dilaporkan berkata, kelayakan mengundi pada PRU-15 pada usia 18 tahun yang sepatutnya berkuat kuasa Julai ini, tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Rais dilaporkan berkata, pelbagai kekangan wujud ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Sementara itu, Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, berkata pertembungan tiga penjuru pada PRU-15 sukar dielak meskipun UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS berjaya menyelesaikan konflik pembahagian kerusi sebelum memasuki medan berkempen.

Beliau berkata, parti baharu yang lahir selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dikatakan akan meletakkan calon di banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di kawasan bersifat konservatif.

Katanya, landskap pengundian pada PRU-15 akan lebih terarah kepada kekuatan dan nilai seseorang calon berbanding nama atau lambang parti.

"Konsep kerjasama antara parti yang kini mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula berkemungkinan berbeza kaedahnya mengikut pola politik di sesebuah negeri dan setiap negeri itu mungkin ada kiraan yang berlainan.

"Di Sabah lain, di Utara lain dan Johor pula lain, saya rasa mungkin ada negeri yang memang lihat perlunya mereka bekerjasama bertanding atas semangat kerjasama politik.

"Mungkin lebih daripada tiga penjuru (akan bertanding di sesuatu kerusi), saya dimaklumkan parti baharu akan meletak calon di banyak kerusi dan kalau kita beranggapan bahawa isu PAS, BERSATU dengan UMNO itu semata-mata nak mengurangkan pertembungan, kemungkinan ada calon Bebas pula," katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad bahawapertembungan kerusi antara UMNO dan BERSATU pada PRU-15 berkemungkinan besar tidak akan berlaku.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) dengan mengambil kira pengukuhan Melayu dan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 4:14 PM