FOTO Ahmad Irham Mohd Noor dan Asyraf Hamzah
FOTO Ahmad Irham Mohd Noor dan Asyraf Hamzah
FOTO Ahmad Irham Mohd Noor dan Asyraf Hamzah
FOTO Ahmad Irham Mohd Noor dan Asyraf Hamzah
FOTO Ahmad Irham Mohd Noor dan Asyraf Hamzah
FOTO Ahmad Irham Mohd Noor dan Asyraf Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


LEBIH sepuluh ribu umat Islam membanjiri Dataran Putra, Presint 1 Putrajaya, untuk bersama mengaminkan doa memohon kesejahteraan dan kemakmuran negara, malam tadi.

Mereka hadir bagi mengimarahkan Program Doa Malaysia sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017.

Walaupun renyai, mereka yang terdiri pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak tidak berganjak sambil berpayung dan memakai baju hujan.

Program yang bertemakan 'Negaraku Sehati Sejiwa' itu dimulakan dengan Maghrib berjemaah di Masjid Putra seterusnya Isyak dan sunat hajat diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abdul Manaf Mat.

Ia turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang tiba pada 8.40 malam.

Beliau dilihat memakai baju Melayu warna coklat muda, berseluar hitam dan bersongkok dan hadir bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kemuncak acara adalah bacaan doa dipimpin Jamil Khir serta diaminkan oleh umat Islam yang hadir.

Antara pengisian doa ialah memohon silaturrahim antara masyarakat diperbaiki selain meningkatkan rasa cinta terhadap agama dan tanah air Malaysia, menjadi tonggak perpaduan integrasi nasional bangsa.

Selain itu, turut diadakan alunan selawat dan qasidah dipimpin oleh pendakwah terkenal dari Indonesia iaitu Habib Syech Abdul Qadir Assegaf dan disertai kumpulan nasyid tempatan In-Team, Al-Mawlid serta kumpulan hadrah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Program diteruskan dengan sesi Tazkirah Kemerdekaan oleh penceramah terkenal, Datuk Badlishah Alauddin.

Doa Malaysia ialah acara tahunan kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) serta Perbadanan Putrajaya (PPj) dan ia adalah program pembukaan kepada semua acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 10:23 PM