MOHD Puad, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
MOHD Puad, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menafikan dirinya terbabit dalam insiden membakar suar dan menaikkan kain rentang menyatakan bantahan kepada kerajaan di Parit Raja, dekat sini, kelmarin.

Mohd Puad berkata, ada individu cuba mengaitkannya dengan insiden berkenaan memandangkan beliau adalah Ketua Umno Bahagian Batu Pahat.

"Parit Raja berada di Parlimen Sri Gading, maka jangan tuduh 'semberono'," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, seramai 20 individu ditahan polis setakat ini kerana dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh di Parit Raja, Batu Pahat, kelmarin.

"Kesemua suspek berusia 16 hingga 28 tahun yang juga penduduk setempat ditahan dalam Operasi Khas bermula 11 malam tadi di sekitar Batu Pahat.

"Operasi Khas yang dijalankan oleh polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat adalah bagi mengesan dan menahan mereka yang terbabit dalam kejadian merusuh, membakar suar dan menaikkan kain rentang di Parit Raja.

"Siasat awal mendapati, kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat di pekan Parit Raja kira-kira 2 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 9:00 PM