FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Premis yang menyediakan rawatan laser tanpa pendaftaran atau lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh didenda sehingga RM300,000 atau enam bulan penjara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sejak 2013 sehingga 21 Ogos lalu, sebanyak 12 tindakan penguatkuasaan ke atas premis yang menyediakan perkhidmatan perubatan estetik tanpa pendaftaran atau lesen sudah dijalankan.

"Personel yang menyediakan perkhidmatan berkenaan perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan mempunyai Letter of Credentialing and Privileging (LCP)," katanya menjawab soalan Senator Lee Tian Sing pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara tadi.

Beliau berkata, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) di seluruh negara sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap penjualan ubat-ubatan yang tidak disahkan oleh KKM dalam talian termasuk di media sosial dan aplikasi pesanan ringkas.

Dalam menangani isu ini, katanya BPF sudah menubuhkan Seksyen Forensik Siber yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan dan mengumpulkan maklumat digital untuk tujuan tindakan penguatkuasaan.

"Pemantauan secara berkala dijalankan oleh Pegawai Penguatkuasa Farmasi ke atas laman sesawang, media sosial dan platform e-dagang. Laman sesawang yang dikenalpasti dan disiasat akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, penyedia domain dan 'registrar' untuk tujuan sekatan.

"Manakala, notifikasi penurunan iklan yang menyalahi peruntukan undang-undang diberikan kepada pengendali platform e-dagang," katanya.

Beliau berkata, bagi memperkasa penguatkuasaan, KKM sudah menjalankan serbuan dan pendakwaan ke atas penjual ubat-ubatan dalam talian termasuk ke atas pengilang dan pemborong yang membekalkan produk dan bahan mentah kepada penjual-penjual dalam talian.

"Selain itu, KKM menyertai Operasi diselaraskan oleh INTERPOL sejak 2012. Operasi ini memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan yang menyalahi peruntukan undang-undang dan ini adalah tindakan penguatkuasaan berasaskan internet yang terbesar seumpamanya diadakan di seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 4:33 PM