PENGUAT kuasa BPF KMM memeriksa sebahagian daripada produk luar negara yang diragui kandungannya kini memenuhi pasaran tempatan.
PENGUAT kuasa BPF KMM memeriksa sebahagian daripada produk luar negara yang diragui kandungannya kini memenuhi pasaran tempatan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Permintaan tinggi terhadap pelbagai ubat-ubatan dan pil perangsang seks haram menjadi punca penyeludup terus galak membawa masuk produk dilarang itu dari negara jiran.

Ini dibuktikan apabila produk rangsangan seks dan pelbagai produk lain dikesan mudah diperoleh di premis perniagaan sekitar ibu kota.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam mematahkan sebarang cubaan menyeludup ubatan atau produk rangsangan seks tidak berdaftar dari negara jiran Indonesia.

“Selain rokok dan kosmetik haram, pihak APMM mendapati produk rangsangan seks dan ubat-ubatan tidak berdaftar semakin kerap cuba diseludup masuk ke Malaysia sama ada melalui daerah Klang, Perak atau Johor.

“Apabila disoal siasat, penyeludup yang diberkas mengakui produk rangsangan seks dan ubat-ubatan tidak berdaftar ini mendapat permintaan tinggi daripada peniaga di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, produk rangsangan seks itu yang dijual sekitar rupiah 50,000 (RM17) sekotak boleh meningkat menjadi RM60 sekotak di Malaysia.

Dalam rampasan terbaru, APMM Daerah Klang berjaya mematahkan cubaan membawa masuk pelbagai ubatan, produk kosmetik dan pil perangsang seks tidak berdaftar bernilai lebih RM430,000 di Pelabuhan Selatan.

Jurucakap berkata, ubat-ubatan haram turut dikesan diseludup masuk dari Thailand, China dan Filipina ini terutama membabitkan produk menyembuhkan penyakit kulit, merangsang seks, sakit sendi, menguruskan tubuh selain memutihkan kulit.

“Antara kimia beracun kerap ditemui dalam produk haram itu adalah dexamethasone, hydroquinone, tretinoin, taladafil, sildenafil dan pelbagai kimia lain.

“Hasil pemeriksaan dan serbuan dilakukan sebelum ini mendapati wujud rangkaian sindiket atau individu yang aktif menyeludup pelbagai ubat-ubatan haram ini,” katanya.

Menurutnya, pihak BPF memandang serius penjualan ubat-ubatan haram tidak berdaftar dan tiruan yang didapati semakin meningkat.

“Untuk rekod, sepanjang 2016 sebanyak 39,247 produk tidak berdaftar yang menyalahi peruntukan undang-undang dirampas dengan anggaran nilai lebih RM43 juta.

“Manakala, sehingga November tahun ini pula produk tidak berdaftar bernilai RM75.4 juta dirampas di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:21 AM