ANTARA ubat dan juga suplemen kesihatan tak berdaftar yang dijual di platform media sosial.
ANTARA ubat dan juga suplemen kesihatan tak berdaftar yang dijual di platform media sosial.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Jual harapan palsu kononnya pesakit yang tiada peluang untuk hidup lama masih boleh diselamatkan dengan pelbagai ubat-ubatan ajaib.

Itu sikap tamak ditonjolkan beratus penjual ubat-ubatan pelik di media sosial dengan menggunakan pelbagai kaedah pemasaran keji bagi menarik perhatian warganet.

Pelbagai produk kesihatan tidak masuk akal diiklankan antaranya cecair penawar 100 penyakit, pil panjang umur, kapsul 'ekstra' syahwat, kopi lelaki lembik, ubat vaksin ajaib, ubat anti nyanyuk selain pelbagai produk makanan kesihatan mencurigakan.

Keuntungan dikejar menyebabkan golongan peniaga tidak beretika ini menggunakan pelbagai taktik untuk melariskan jualan dengan menyebarkan beratus video testimoni dan dakwaan palsu tidak berasas di media sosial.

Penjualan ubat-ubatan dalam talian ini seolah-olah tidak dapat dibendung pihak berkuasa apabila ia tersebar meluas hampir di semua platfom media sosial.

Teknik pujukan dan memaparkan fakta palsu ini giat digunakan untuk meyakinkan warganet terhadap pelbagai produk didakwa mampu menyembuh atau mencegah penyakit.

Ia menjadi modal 'pujuk rayu' paling berkesan terutama kepada sasaran pelanggan yang tidak mempunyai asas pengetahuan berkaitan produk farmaseutikal.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, berdasarkan pemerhatian dilakukan, rata-rata golongan ini dikesan menipu pelanggan dengan mendakwa produk dipasarkan itu dihasilkan secara alami menggunakan tumbuh-tumbuhan herba.

"Seringkali golongan ini mendakwa produk dihasilkan itu 100 peratus mengandungi ginseng, sumac, hempedu bumi, tulsi, guarana, tunjuk langit, tongkat ali atau pelbagai herba terbaik.

"Tidak kurang juga ada mendakwa produk dijual menggunakan ramuan sunnah seperti madu, kismis, kurma, buah zaitun, buah tin, habbatus sauda, delima, za'faran, air zam zam, garam kristal hunza dan pelbagai lagi kandungan 'misteri'," katanya.

Menurutnya, ubat-ubatan tanpa kelulusan KKM ini didakwa peniaga berupaya merawat gout, sakit sendi, darah tinggi, memulihkan masalah tenaga batin, sakit urat, penyakit kulit, migrain dan pelbagai penyakit lain.

"Malah si penjual mendakwa pesakit yang mengambil ubat-ubatan itu dijual tidak perlu berjumpa doktor. Kononnya ramai pelanggan yang mengidap kencing manis, sakit buah pinggang, batu karang, obesiti, paras kolestrol tinggi, sakit dan lemah jantung. kanser, mati pucuk serta sindrom Long Covid-19 mampu pulih dalam tempoh singkat.

"Bagi menguatkan lagi dakwaan, testimoni dalam bentuk video turut disebarkan membabitkan individu didakwa pesakit yang pulih selepas mengambil produk dijual. Namun tidak dapat dipastikan sama ada ia lakonan atau sengaja diada-adakan.

"Ada juga golongan peniaga terbabit sengaja memburuk-burukkan ubat diberikan pihak hospital atau doktor bertauliah bertujuan mewujudkan rasa ragu pada orang ramai," katanya.

Menurutnya, peniaga ubat-ubatan haram dalam talian ini sengaja mahu mewujudkan persepsi buruk terhadap sistem kesihatan KKM supaya pesakit beralih tumpuan terhadap produk dijual.

PRODUK kesihatan dan rangsangan seks yang dirampas pihak  KKM.
PRODUK kesihatan dan rangsangan seks yang dirampas pihak KKM.

"Uji kaji makmal di Jabatan Kimia bagaimanapun mendapati produk ubat-ubatan berkenaan tidak mengandungi ekstrak atau pati tumbuh-tumbuhan seperti didakwa. Ia sebaliknya dihasilkan menggunakan sebatian kimia steroid, bahan berbahaya seperti merkuri, arsenik, kadmium, plumbum, sildenafil, taladafil dan pelbagai kimia lain," katanya.

Menurutnya, pengambilan produk ubat-ubatan haram ini amat berbahaya berikutan ia boleh menyebabkan pelbagai implikasi antaranya kegagalan hati, kecederaan ginjal, kerosakan buah pinggang, kesan kepada jantung, osteoporosis selain boleh menyebabkan kematian.

Menurutnya, di bawah Akta Jualan Dadah 1952, individu atau syarikat yang mengilang, menjual, mengedar, mengimport atau menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Mereka turut boleh denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 7:30 AM