ANGGOTA bomba membantu dua beranak naik ke atas selepas kereta mereka terjunam ke dalam gaung di Kilometer 16.3 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membantu dua beranak naik ke atas selepas kereta mereka terjunam ke dalam gaung di Kilometer 16.3 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Farah Suhaidah Othman


DUA beranak hanya cedera ringan selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 16.3 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, hari ini.

Dalam kejadian pada 4 petang, kereta dinaiki Wong Wai Yeen, 43, dan bapanya, Wong Fee Loon, 76, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian.

Akibat itu, kereta Proton Persona berkenaan terbabas dan meluncur ke bawah gaung melalui longkang air berbentuk seperti anak tangga itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Zainal Abidin Abd Ghani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.17 petang.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati sebuah kereta berada dalam gaung sedalam 60 meter.

“Terdapat dua mangsa, namun kedua-duanya berjaya keluar dari kenderaan berkenaan dengan sendiri.

“Anggota bomba turun ke bawah dan memimpin mereka naik ke atas sebelum menyerahkan mangsa kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami luka dan dihantar dengan ambulans ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 12:00 AM