AHMAD Azim menunjukkan sebahagian  novel yang akan dijual sempena Pesta Buku Kelantan 2018.
AHMAD Azim menunjukkan sebahagian novel yang akan dijual sempena Pesta Buku Kelantan 2018.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Lebih 20,000 buku pelbagai genre akan mewarnai Pesta Buku Kelantan 2018 di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bermula hari ini hingga 3 April ini.

Program itu anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan (PUSTAKA) serta turut mendapat kerjasama Syarikat Muda Osman (SMO).

Pengarah Urusan SMO Sdn Bhd (SMO Bookstores) Ahmed Azim Othman berkata, jika sebelum ini penganjurannya diadakan selama tujuh hari, kali ini tempohnya dipanjangkan kepada lapan hari.

“Seramai 66 penerbit menyertai pesta buku dan pelbagai koleksi buku yang disediakan khas untuk pengunjung yang hadir memeriahkan sepanjang pesta berlangsung.

“Selain itu, tawaran diskaun juga ditambah 25 peratus berbanding tahun ini yang merangkumi pelbagai genre antaranya akademik, umum, agama dan novel,” katanya.

Buku terpilih yang ditawarkan diskaun dijual serendah RM1 sehingga RM10 dan diskaun mencecah 90 peratus.

Bagi pemegang kad SMO pula, Ahmed Azim berkata, diskaun ditawarkan adalah sebanyak 15 peratus untuk semua jenis buku.

“Kita menjangkakan lebih 50,000 pengunjung hadir dari seluruh Kelantan sepanjang penganjuran pesta buku itu.

“Majlis pelancarannya diadakan esok dan kita akan memilih 50 anak angkat terdiri calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menerima bantuan peralatan sekolah,” katanya sambil menambah yang program itu sudah lebih lima tahun diadakan.

Sepanjang pesta buku itu, banyak aktiviti bakal berlangsung dan pengunjung juga boleh beramah mesra dengan beberapa penulis antaranya Da’i Wan, Bonda Nor, Farrah Fakhira, Effi Aizat, Hani Fazuha, Farah Darianna dan Kaher Hanza Imanimex.

Pelbagai hadiah cabutan bertuah disediakan kepada pengunjung dan hadiah utama adalah pelayaran Islamik ke Vietnam dengan menaiki kapal cruise yang menanti pengunjung bertuah.

The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) juga mempromosikan sistem pembelajaran secara digital melalui portal pendidikan atas talian, FullAMark di pesta buku itu.

Di kaunter yang tersedia turut dijual set latihan kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan SPM dengan harga yang istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 9:30 AM