PESERTA bersama jurulatih dan guru pengiring menunjukkan Anugerah Reka Bentuk Robot Terbaik yang dimenangi, semalam. FOTO Ihsan SK Datuk Wan Kemara
PESERTA bersama jurulatih dan guru pengiring menunjukkan Anugerah Reka Bentuk Robot Terbaik yang dimenangi, semalam. FOTO Ihsan SK Datuk Wan Kemara
Mohd Sharumnisham Shahbudin


KETENANGAN mengawal robot dan semangat mahu bergelar juara dijadikan azimat oleh sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Kemara, Changlun sekali gus meraih Anugerah Reka Bentuk Robot Terbaik pada dalam The 1st FSI-All Thailand & Robo-Sumo Tournament 2018 di Trang, Thailand, semalam.

Guru Besarnya Mohd Nizam Saidin berkata, walaupun berhadapan dengan peserta lebih dewasa dan berpengalaman dari Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand, namun empat murid yang menggalas cabaran tidak gentar untuk memberi hasil yang terbaik.

Menurutnya, sekolah berkenaan diwakili oleh Muhammad Aiman Faisul Aris, 12, Muhammad Amsyar Hadif Abdul Rashid, 10, Haziq Khalili Idham Khalil, 11, dan Wafiq Danial Wahed 12.

“Ini secara tidak langsung membuktikan sekolah luar bandar mampu bersaing di pentas antarabangsa jika ada kemahuan dan kesungguhan.

"Mereka berlatih cuma tiga minggu saja di bawah seliaan guru Afrijasri Jasni, Amir Jamaludin dan Shahrir Abd Raof Khan disebabkan peralatan membina robot lewat diterima daripada pembekal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pertandingan itu, setiap pasukan yang berjaya menyingkirkan robot pasukan lawan ke luar gelanggang dikira sebagai pemenang.

Sementara itu, ketua pasukan, Wafiq Danial berkata, kejayaan terbabit memberikan perangsang kepada mereka untuk menyertai pertandingan lebih besar di World Robo-Sumo di Filipina pada Mei depan.

Kejayaan sekolah berkenaan mengharumkan nama negara turut dikongsi oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam laman Facebook rasminya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 12:09 PM