Noorazura Abdul Rahman


MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya.

Itulah pepatah yang sesuai menggambarkan inisiatif Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Changlun, Kubang Pasu yang melatih khatib cilik seawal usia sembilan tahun.

Guru Besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, pencarian khatib cilik itu bermula Mac lalu dengan membuka penyertaan kepada murid Tahun Tiga, Empat dan Lima.

Katanya, pada awal program itu pihak sekolah menerima 50 penyertaan dan pemilihan dilakukan oleh guru agama sekolah terbabit.

“Kira-kira 20 murid dipilih, lima daripadanya kini sangat aktif membaca khutbah pada setiap Rabu iaitu Hari Kokurikulum, mereka dipimpin Ustaz Abdul Razak Mahmood iaitu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah ini yang juga Imam Masjid Abidin Kampung Masjid, Changlun.

“Secara kebetulan juga surau sekolah iaitu Surau Annajjah menerima pemberian mimbar dan tongkat daripada Masjid Al Ihsan dari Kampung Changkat Setoi, Changlun dan ia secara tidak langsung menaikkan semangat murid untuk membaca khutbah seperti khatib di masjid.

“Khutbah yang dibaca adalah khutbah yang sama dibaca oleh masjid lain, murid ini sudah menghafal bacaan awal khutbah dan mereka dilihat begitu yakin melontarkan suara lantang dan jelas di hadapan guru dan murid-murid lain,” katanya.

Bercerita lanjut, Mohd Nizam berkata, program mencungkil bakat khatib cilik itu ternyata memberi kesan sangat positif kepada peserta apabila ia meningkatkan keyakinan diri murid selain prestasi pelajaran juga bertambah baik.

Katanya, ia turut melatih proses kemenjadian murid selain membentuk disiplin yang sangat tinggi.

“Pengisian rohani menerusi isu kandungan khutbah banyak membantu membina sahsiah diri pelajar, selain sudah pandai berdepan dengan orang ramai, saya merasa kagum apabila setiap kali waktu rehat pagi, ramai antara peserta termasuk murid lain menunaikan solat sunat dhuha terlebih dulu sebelum ke kantin.

“Mereka tanpa gagal akan melakukan perkara sama, ia menjadi contoh kepada semua 1,300 murid lain,” katanya.

Sementara itu, murid Tahun Lima, Muhammad Danial Irfan Addris,11, berkata, sejak menyertai program khatib cilik, dia kini merasakan seperti ada tenaga baru bergelar murid dan anak.

Katanya, tugas itu memerlukan dia menjadi berani dan bertutur dengan jelas dan kuat agar jemaah dapat menerima dan memahami isi kandungan yang dibaca.

“Terima kasih kepada Ustaz Abdul Razak yang melatih saya sehingga saya ke tahap ini.

“Jika dulu saya pemalu untuk tampil ke depan tapi menerusi program ini, saya dilatih menjadi yakin dengan diri sendiri dan dalam masa sama dapat mendalami ilmu agama,” katanya yang bercita-cita menjadi penyebar syiar Islam.

Muhammad Danial Irfan dilatih membaca khutbah di surau Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Changlun. FOTO Ihsan Mohd Nizam Saidin
Muhammad Danial Irfan dilatih membaca khutbah di surau Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Changlun. FOTO Ihsan Mohd Nizam Saidin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 1:15 PM