Antara aksi ketika pertandingan Sumo Robot Challenge 2017 sempena Hari Belia Negara 2017, semalam.
Antara aksi ketika pertandingan Sumo Robot Challenge 2017 sempena Hari Belia Negara 2017, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Aksi sumo dua robot ‘bertarung’ di dalam gelanggang menjadi antara tumpuan pengunjung pada sambutan Hari Belia Negara 2017 di Persiaran Perdana, semalam.

Pertandingan sumo robot yang dianjurkan bersama Kelab Belia Robot dan Majlis Belia Malaysia (MBM) itu di sertai 16 pasukan membabitkan institut latihan awam, kolej komuniti, universiti dan sekolah.

Presiden Kelab Belia Robot A Rahmad Ngah berkata, dua kategori pertandingan dianjurkan iaitu kawalan jauh sumo robot 5 kilogram (kg) dan auto sumo robot 3kg.

Katanya, pemenang bagi setiap kategori menerima wang tunai RM1,000 diikuti RM700 bagi tempat kedua, RM500 (ketiga) dan RM200 (keempat).

“Sumo robot diperkenalkan di negara ini sejak tiga tahun lalu dan semakin mendapat sambutan daripada peminat robotik dari seluruh negara.

“Selain menggalakkan kreativiti dan inovasi, sumo robot turut menggabungkan elemen mekatronik, elektrikal dan mekanikal,” katanya.

Kata beliau, pihaknya merancang memperluaskan pertandingan sumo robot ke seluruh negara memandangkan ia semakin mendapat sambutan terutama dalam kalangan belia dan pelajar sekolah.

A Rahmad yang juga Pengarah Institut Latihan Perindustrian Bukit Katil, Melaka berkata, pihaknya turut merancang membawa pasukan negara menyertai pertandingan sumo robot di peringkat dunia yang kebiasaannya dianjurkan di Jepun.

“Kami ada rancangan untuk membawa pasukan ke peringkat dunia sekiranya mendapat tajaan dan peruntukan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Menurutnya, kos bagi menghasilkan sebuah sumo robot seberat 5kg adalah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 dan kebanyakan komponen diperolehi dari luar negara termasuk motor dan kawalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 2:21 AM