PASUKAN rekacipta Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara menunjukkan pingat dan sijil serta Bazooka Plant yang memenangi Pertandingan Pencipta Muda Kedah 2017. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
PASUKAN rekacipta Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara menunjukkan pingat dan sijil serta Bazooka Plant yang memenangi Pertandingan Pencipta Muda Kedah 2017. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin


KREATIVTI tiga murid Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara, Changlun mencipta alat penanam pokok cili diiktiraf apabila memenangi Anugerah Pingat Emas dan Anugerah Khas Pertandingan Pencipta Muda dan Inovasi Kedah 2017.

Lebih manis, inovasi kek berasaskan bunga ros direka murid sekolah itu turut menerima hadiah saguhati pada pertandingan sama yang berlangsung di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Selasa lalu.

Guru besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, idea menghasilkan alat dinamakan Bazooka Plant itu tercetus atas keprihatinan tiga muridnya terhadap kesukaran pekebun cili untuk menanam banyak anak pokok dalam masa singkat.

Menurutnya, Bazooka Plant adalah hasil kreatitivi Nur Adlia Sufi Mohd Adan, 12, Muhammad Afiq Farhan Ahmad Tarmizi, 12 tahun dan Aifah Zahirah Anuar, 11 tahun yang memudahkan petani menanam banyak anak pokok cili dalam masa singkat.

Beliau berkata, kumpulan diketuai Nor Adlia Sufi mula mereka alat itu Jun lalu dan mendapat kerjasama dan bimbingan pensyarah Dr Azlan Taib daripada Universiti Utara Malaysia dan Dr Edry Tan daripada Universiti Malaysia Perlis.

"Jika dahulu, 100 anak pokok cili sahaja dapat ditanam secara manual sehari oleh petani tetapi dengan Bazooka Plant, lebih 600 anak pokok dapat ditanam tanpa penggunaan tenaga yang ramai.

"Alat ini boleh diguna untuk mengorek lubang dan menyemai benih anak pokok pada masa sama," katanya ditemui di sekolahnya di Changlun, hari ini.

Katanya, pihak sekolah sedang menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Changlun bagi mengkomersialkan alat berkenaan.

"Alat ini dijual RM180 seunit dan setakat ini kami menerima tempahan 18 unit Bazooka Plant daripada petani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 10:01 PM