KAKITANGAN ANIH Berhad memeriksa jaring penahan sisa serpihan.
KAKITANGAN ANIH Berhad memeriksa jaring penahan sisa serpihan.
Amin Ridzuan Ishak

Kuantan: Pemasangan jaring bertindak sebagai penahan sisa serpihan seperti bongkah batu yang berkelajuan 3,000 Kilojoules (kJ) ketika bergerak adalah antara ciri keselamatan dibangunkan dalam sistem pengukuhan cerun di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), dekat Lentang.

Jaring setinggi lima meter dan panjang 30 meter berkenaan yang menepati piawaian antarabangsa dipasang oleh syarikat konsesi KLK dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), ANIH Berhad sebagai langkah keselamatan berikutan kejadian banjir lumpur pada 11 November 2015.

Kejadian itu menyebabkan ribuan pengguna terkandas apabila kedua-dua laluan tertutup akibat aliran debris atau serpihan membawa bongkah batuan, kayu-kayan, pasir serta lumpur dengan kandungan air banyak.

Selama beberapa hari, ANIH Berhad bertungkus-lumus bagi memastikan laluan itu dapat dibuka semula kepada pengguna jalan raya.

JARING penahan sisa serpihan setinggi lima meter dan panjang 30 meter mampu mengelak bongkah batu dan balak terjunam ke lebuh raya.
JARING penahan sisa serpihan setinggi lima meter dan panjang 30 meter mampu mengelak bongkah batu dan balak terjunam ke lebuh raya.

NSTP baru-baru ini berpeluang ke lokasi kejadian untuk melihat sistem khas dibangunkan bagi mengukuhkan kawasan cerun dan tebing yang dirasakan berisiko serta menyebabkan peristiwa berkenaan kembali berulang pada masa depan.

Sistem dibangunkan dengan kos RM2 juta itu merangkumi beberapa komponen seperti sistem pengaliran, takungan, penampan air dan pemasangan penahan sisa debris berbentuk jaring yang mampu meningkatkan keselamatan pengguna sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Ia bermula dengan sebuah kolam yang dinaik taraf berfungsi sebagai tadahan pertama sisa daripada kawasan sekitar antaranya, Janda Baik, Bentong.

Ia disusuli dengan saliran air ke takungan kecil yang kemudian dialirkan ke sebuah kolam takungan besar. Kolam takungan besar itu akan mengumpulkan sisa-sisa yang akan dibersihkan sebulan sekali oleh kontraktor dilantik.

Sistem berkenaan juga meliputi pemasangan jaring menepati piawaian lebuh raya antarabangsa yang mampu menahan impak berkelajuan 3000 kJ iaitu bersamaan dengan kelajuan atau berat sebuah lori.

Ia juga meliputi pemasangan dinding gabion yang antaranya berperanan mengurangkan aliran air di tebing yang kemudian disalurkan ke saliran terletak di bawah lebuh raya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pihaknya memperuntukkan RM50.5 juta sejak 2010 hingga 2017 bagi mengukuhkan keupayaan kemahiran teknikalnya dalam menguruskan cerun serta tebing tanah tinggi di KLK dan LPT1.

KEADAAN  pengaliran air dari cerun yang dinaik taraf dan diselenggara ANIH Berhad.
KEADAAN pengaliran air dari cerun yang dinaik taraf dan diselenggara ANIH Berhad.

Katanya, ANIH Berhad menggunakan beberapa teknik penyelenggaraan dan pengukuhan cerun atau tebing tanah tinggi, antaranya cerun tambak selain teknik cerun potong.

“Teknologi digunakan itu berfungsi sebagai perlindungan dan pengukuhan cerun tambak serta cerun potong bagi mengelakkan air resapan secara berterusan ke dalam tanah yang akan mengurangkan kekuatan tanah dan seterusnya menyebabkan kegagalan cerun itu,” katanya kepada NSTP di sini, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 4:25 AM