Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria


SERAMAI 50 anggota pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 14 kru kapal korek yang terbalik dan masih hilang di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar.

Difahamkan kesemua 14 kru berkenaan dipercayai masih terperangkap di dalam kapal yang terbalik sepenuhnya itu.

Antara agensi terbabit termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Laut Malaysia dan pasukan perubatan yang berada di lokasi sejak jam 10 pagi tadi.

Pasukan penyelam daripada Tentera Laut Malaysia juga dikerahkan ke lokasi bagi membantu SAR.

LOKASI kejadian dan pasukan penyelamat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) 14 krew dilaporkan hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di perairan Parit Jawa, Muar. FOTO Adi Safri
LOKASI kejadian dan pasukan penyelamat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) 14 krew dilaporkan hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di perairan Parit Jawa, Muar. FOTO Adi Safri

Selain itu, lima bot daripada Maritim Malaysia, PPM dan Jabatan Laut Malaysia turut menyertai SAR.

Difahamkan hanya seorang warga tempatan yang bertugas di dalam kapal berkenaan ketika ia terbalik manakala 17 yang lain adalah warga negara asing.

Sehingga kini, hanya tiga mangsa berjaya diselamatkan dengan dua daripadanya mengalami parah dan sudah dikejarkan ke hospital berhampiran manakala seorang kru ditemui lemas.

Pagi tadi, NSTP melaporkan seorang kru ditemui lemas manakala 14 lagi masih hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di kedudukan kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 kru dipercayai terperangkap di dalam kapal berkenaan.

Berita berkaitan:

1 lemas, 14 hilang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 5:04 PM
PASUKAN penyelamat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas seramai 14 krew dilaporkan hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di perairan Parit Jawa, Muar. FOTO Adi Safri
PASUKAN penyelamat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas seramai 14 krew dilaporkan hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di perairan Parit Jawa, Muar. FOTO Adi Safri