MANGSA ditemui mati dengan satu kesan tikaman di dada. FOTO ihsan Polis
MANGSA ditemui mati dengan satu kesan tikaman di dada. FOTO ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menahan lima individu disyaki terbabit dalam kes bunuh lelaki di Jalan Nusa Bestari 2 3/6, Taman Nusa Bestari, Skudai, hari ini.

Lima suspek terdiri daripada isteri mangsa, anak lelakinya dan tiga rakan kepada anak mangsa itu ditahan beberapa jam selepas kejadian itu dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, tiga tangkapan pertama iaitu isteri mangsa berusia 40 tahun, anak lelakinya, 17, serta seorang rakan anak mangsa berusia 18 tahun ditahan di sekitar Taman Nusa Bestari, selepas disyaki terbabit dalam kejadian bunuh berkenaan.

Manakala, katanya, dua lagi rakan kepada anak mangsa yang juga berusia 18 tahun ditahan di sekitar Taman Ungku Tun Aminah, Johor, kira-kira 4 petang tadi.

Beliau berkata, kelima-lima suspek itu ditahan hasil kecekapan dan kesungguhan pihak polis yang berjaya mengesan suspek yang pada mulanya cuba menipu dengan mendakwa kejadian bunuh itu dilakukan oleh individu lain.

"Mangsa dipercayai dibunuh anak lelakinya sendiri. Manakala, isteri mangsa dan rakan kepada anak mangsa disyaki terbabit dalam kejadian ini.

"Kita juga masih mengesan seorang lagi rakan kepada anak lelaki mangsa kerana dipercayai dapat melarikan diri selepas kejadian itu," katanya.

Noor Hashim berkata, hasil siasatan awal mendapati cemburu dan disyaki mempunyai perempuan simpanan dipercayai punca mangsa yang dikenali sebagai Kiu Kok Ying, 46, itu dibunuh.

Terdahulu, beliau berkata, polis menjumpai mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dengan satu kesan tikaman di dada kirinya.

Katanya, polis menerima panggilan telefon pada 11.08 pagi daripada orang awam yang pada mulanya memaklumkan tentang satu kejadian pecah rumah di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan polis, kita menjumpai mayat seorang lelaki dalam rumah teres dua tingkat itu.

"Mayat mangsa ditemui di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah dan mengiring ke kiri dengan satu kesan tikaman di dada kiri dipercayai menggunakan pisau.

"Terdapat titisan darah dari bilik utama dipercayai bilik tidur mangsa di tingkat atas hingga ke tempat mayatnya ditemui.

"Terdapat juga kesan pergelutan di bilik utama itu yang mana rak baju terjatuh dan katil berselerak, namun tiada barang yang hilang dan tiada kesan pecah rumah," katanya.

Menurut Noor Hashim, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 9:16 PM