FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


HANYA kerana mahukan wang untuk membeli dadah, seorang guru lelaki tergamak mengancam mahu mencederakan ibu kandungnya dengan parang dalam kejadian di rumahnya di Sungai Way, di sini, kelmarin.

Tindakan lelaki berusia 21 tahun berkenaan bagaimanapun mengundang padah apabila dia ditahan polis di rumahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 6 petang.

“Suspek ditahan selepas kami menerima aduan daripada abangnya berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak mengugut ibunya dengan meminta wang untuk membeli dadah sebanyak tiga hingga empat kali sejak awal tahun ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamin.

“Semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah membabitkan kes ugutan.

“Suspek direman selama empat hari hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 4:46 PM