A Anbalagan (tengah) bersama pegawai menunjukkan pistol dan peluru yang dirampas ketika sidang media di IPD Serdang. FOTO Hairul Anuar Rahim
A Anbalagan (tengah) bersama pegawai menunjukkan pistol dan peluru yang dirampas ketika sidang media di IPD Serdang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: Ugut guna pistol jika tidak bayar wang perlindungan. Itu dilakukan seorang lelaki yang bertindak solo melakukan pemerasan terhadap peniaga di sekitar daerah ini.

Suspek yang berusia 42 tahun mensasarkan peniaga yang mempunyai pekerja warga asing dan akan melakukan ugutan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, jenayah suspek berjaya dibongkar selepas seorang peniaga membuat laporan polis semalam.

"Mangsa mendakwa diugut bunuh oleh suspek menerusi WhatsApp dengan menghantar gambar pistol dan peluru kepada mangsa bagi menakutkannya.

"Difahamkan suspek bertindak demikian kerana mangsa enggan membayar wang perlindungan kepada suspek," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan itu polis menahan lelaki berkenaan di sekitar daerah ini pada hari yang sama.

"Siasatan kemudian membawa kepada rampasan sepucuk pistol semi automatik berserta lapan butir peluru di Kajang.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki 10 rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya, suspek kini direman sehingga esok sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang bagi siasatan berhubung penemuan pistol.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

"Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada suspek dininta tampil ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 1:00 PM