Fardy Bungga


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup masuk dadah ke negeri ini apabila merampas syabu bernilai RM570,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, lelaki berusia 35 tahun yang berstatus pemastautin tetap cuba mengaburi pihak berkuasa dengan memasukkan dadah ke dalam bungkusan teh hijau sebelum disimpan di dalam bagasi miliknya.

Bagaimanapun, ketika melalui mesin imbasan, anggota penguat kuasa JKDM menyedari imej mencurigakan pada beg suspek dan pemeriksaan lanjut menemui lapan bungkusan mengandungi syabu.

Pengarah JKDM Sabah Datuk Hamzah Sundang berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu membawa dadah seberat 8.129 kilogram.

Katanya, dadah berkenaan disimpan dalam paket teh hijau sebelum disorok di dalam kain selimut dan beberapa helai pakaian.

HAMZAH (tengah) menunjukkan syabu dalam paket teh hijau yang dirampas di KKIA, Ahad lalu pada sidang media, hari ini. FOTO Lano Lan.
HAMZAH (tengah) menunjukkan syabu dalam paket teh hijau yang dirampas di KKIA, Ahad lalu pada sidang media, hari ini. FOTO Lano Lan.

"Tiada tangkapan dilakukan apabila suspek melarikan diri ke kawasan gelap di parkir KKIA dan anggota JKDM yang cuba mengejar terpaksa menghentikan usaha itu atas dasar keselamatan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 29B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Kastam, hari ini.

Hamzah berkata, kes cubaan menyeludup dadah menerusi perkhidmatan udara itu adalah yang pertama dilaporkan pada tahun ini membabitkan JKDM Sabah.

Sehubungan itu, beliau berkata, mekanisme pemeriksaan bagasi penumpang di lapangan terbang perlu dikaji semula untuk memantapkan lagi penguatkuasaan agensi berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa lapangan terbang perlu mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) mereka dengan memberi pihak JKDM lebih kemudahan untuk memantapkan kaedah pemeriksaan penumpang 'Out Bound' Domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 5:55 PM