LELAKI warga Rohingya putus jari manis akibat ditetak sekumpulan warga Myanmar dalam kejadian di Taman Bolton, Gombak, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI warga Rohingya putus jari manis akibat ditetak sekumpulan warga Myanmar dalam kejadian di Taman Bolton, Gombak, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


AKIBAT dendam di negara asal, lelaki warga Rohingya putus jari manis ditetak sekumpulan warga Myanmar di Taman Bolton, Gombak, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa Muhammad Faruk Kamal, 20 berada di rumahnya, di sini, sebelum didatangi sekumpulan warga Myanmar berkenaan.

Muhammad Faruk berkata, dia kemudian ditarik kumpulan berkenaan untuk menaiki motosikal sebelum dibawa ke kawasan pinggiran Batu Caves.

"Setibanya di kawasan berkenaan, terdapat dua lelaki warga tempatan memegang saya dan dua warga Myanmar bersenjatakan pisau.

"Mereka kemudian mengambil dompet dan wang milik saya berjumlah RM1000 yang diletakkan di dalam poket seluar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dia cuba untuk mengambil semula wang daripada kumpulan terbabit, namun gagal.

"Mereka kemudian menetak jari telunjuk saya sehingga putus dan melarikan diri.

"Saya kemudian cuba meminta bantuan sebelum dibawa ke Hospital Selayang oleh seorang lelaki untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Selayang untuk tindakan lanjut.

"Saya kini masih trauma dengan kejadian dan kini masih menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 12:58 PM