MAYAT mangsa lemas di Sungai Muda dibawa ke Jabatan Forensik HSB, Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MAYAT mangsa lemas di Sungai Muda dibawa ke Jabatan Forensik HSB, Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SALAH seorang daripada lima lelaki yang ditemui lemas di Sungai Muda berhampiran Kuala Ketil, Baling, pagi hari ini gemar menyabung ayam.

Malah, lelaki, 50, itu pernah beberapa kali berjaya meloloskan diri dalam serbuan polis sebelum ini.

Bagaimanapun, nasib tidak lagi menyebelahinya apabila lelaki berasal dari Kuala Kedah dekat Alor Setar itu lemas selepas terjun ke dalam Sungai Muda ketika melarikan diri dari serbuan polis pada malam Jumaat lalu.

Sepupu mangsa yang enggan dikenali, berkata keluarga lelaki itu membuat laporan polis berhubung kehilangannya selepas menemui keretanya dekat lokasi serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Ketil.

Menurutnya, sepupunya itu sudah lebih 10 tahun terbabit dengan aktiviti sabung ayam dan tidak pernah ketinggalan untuk menyertai mana-mana pertandingan sehingga ke Hatyai, selatan Thailand.

"Selalunya dia akan menang wang tunai antara RM1,000 atau RM2,000 dan menjadikan sabung ayam sebagai kerjaya sambilannya.

"Dia tahu judi sabung ayam adalah satu kesalahan, tetapi berjaya melarikan diri setiap kali polis menjalankan serbuan.

“Tetapi, akhirnya dia membayar dengan nyawanya sendiri untuk aktiviti kesukaannya," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HSB, Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, dia sudah lama tidak bertemu dengan mendiang, tetapi keluarga sepupunya memaklumkan mangsa keluar awal pada hari Tahun Baru Cina untuk menyabung ayam.

Katanya, keluarga sepupunya juga membuat laporan polis selain membuat hebahan kehilangan mendiang di laman sosial Facebook.

"Setakat ini kami tak maklumkan kematian mangsa pada bapanya kerana bimbang dia jatuh sakit ketika kami masih dalam suasana menyambut Tahun Baru Cina," katanya.

Sementara itu, mayat lima mangsa berkenaan tiba di Jabatan Forensik HSB pada 4.35 petang dengan menaiki lori polis.

Mayat kesemua mangsa dijangka akan dibedah siasat esok.

Berita berkaitan

Lima mayat ditemui dalam Sungai Muda

Kaki judi kena cekup

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 7:37 PM