AYAM sabung yang ditinggalkan sekumpulan individu selepas lokasi sabung ayam diserbu polis. FOTO Melvin Joni
AYAM sabung yang ditinggalkan sekumpulan individu selepas lokasi sabung ayam diserbu polis. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


REMAJA antara enam individu yang ditahan ketika sedang menyabung ayam di kebun Namlung, Jalan Fairy Cafe, Bau, hari ini.

Semua suspek warga tempatan berusia 16 hingga 73 tahun itu ditangkap dalam serbuan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, serbuan dilakukan pada 11 pagi hasil daripada risikan awal yang mana pihaknya mendapati orang ramai berkumpul dan dipercayai sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam.

"Ketika serbuan, semua suspek bertempiaran lari dan meninggalkan ayam sabung mereka di lokasi.

"Pasukan berjaya menahan enam daripadanya manakala selebihnya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan polis menemui enam ayam hidup, dua ayam mati, seunit alat penimbang dan sebilah taji pisau disyaki antara peralatan digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Poge berkata, semua suspek bersama peralatan dibawa ke IPD Bau untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.20) 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 8:26 PM