Habibi (dua dari kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas. FOTO Khairull Azry Bidin
Habibi (dua dari kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas. FOTO Khairull Azry Bidin
Fardy Bungga


POLIS Sabah berjaya menumpaskan geng ‘Lius’ yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan selepas tertangkapnya empat individu termasuk dua wanita, 12 Disember lalu.

Kumpulan penjenayah itu dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 15 kes jenayah membabitkan kerugian RM700,000 iaitu enam di Kota Kinabalu, tiga di Penampang, masing-masing dua di Tawau, Kudat dan Papar serta satu kes di Ranau.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian jenayah terbaru kumpulan itu dilaporkan berlaku 2 September lalu di sebuah rumah di Taman Cerah, Jalan Tuaran Bypass, di sini.

Katanya, dalam kejadian itu, kumpulan suspek berjaya melarikan wang tunai, barang kemas, jam tangan berjenama dan sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X dengan nilai kerugian dianggarkan RM80,000.

“Hasil siasatan dan risikan, pada 4.15 pagi, 12 Disember lalu, polis menangkap kekasih berusia 24 dan 20 tahun yang juga ketua kumpulan geng ‘Lius’ di Taman Bukit Putramas, Telipok.

“Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi individu berusia 23 dan 21 tahun,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut membawa kepada penemuan beberapa barangan berharga dipercayai hasil kegiatan jenayah kumpulan itu termasuk dua kenderaan curi, barang kemas, mata wang pelbagai negara dan peralatan pecah masuk kumpulan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati tiga daripada suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis masih memburu empat lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas dan mereka dipercayai masih berada di daerah ini.

“Dua wanita di dalam kumpulan ini dipercayai bertindak sebagai pelupus untuk barangan berharga yang diperolehi hasil kegiatan jenayah mereka,” katanya.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 2:01 PM