MOHMAD  (tengah) bergambar bersama pengawas sekolah selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Pengawas di SMK Chendering.
MOHMAD (tengah) bergambar bersama pengawas sekolah selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Pengawas di SMK Chendering.
HM Digital

Kuala Terengganu: Kewujudan ‘ahli kimia’ tidak bertauliah menghasilkan pelbagai dadah baru dikatakan ancaman baru kepada penguatkuasaan kerajaan dalam usaha menjadikan negara sifar dadah.

Malah, kehadiran dadah baru dalam kalangan masyarakat menggusarkan pihak berkuasa berikutan penghasilan bahan khayal menggunakan bahan kimia selain campuran dadah jenis tanaman antaranya kanabis, ganja dan opium serta kuantiti sedikit memberi kesan besar kepada penagih dadah berkenaan.

Ia dikatakan mampu memberi kesan negatif dalam jangkamasa pendek selain bertindak agresif berbanding dadah tradisional.

Lambakan dadah baru yang direka dalam pelbagai bentuk seperti gula-gula dan minuman dan mudah dibawa menyebabkan pengambilan dadah berkenaan boleh berlaku secara bebas termasuk di kawasan terbuka seperti kedai makan, pusat beli- belah, pusat hiburan keluarga malah dalam kawasan sekolah tanpa rasa bimbang dicekup pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kewujudan ‘ahli kimia’ yang bijak mencipta dadah dalam bentuk baru menjadikan isu berkaitan dadah bagaikan tidak ada penghujung.

“Kalau dahulu, penagih hanya bergantung kepada dadah jenis tanaman antaranya kanabis, ganja dan opiom tetapi, dadah bentuk baru ini direka dengan menggunakan bahan kimia yang mudah diperoleh serta mudah dihasilkan dikenali sebagai NPS (Bahan Psikoaktif Baharu).

“NPS adalah campuran bahan kimia di samping sedikit campuran bahan daripada tanaman.

“Apa yang paling menakutkan dadah baru ini mudah dijual dalam pelbagai bentuk dan dengan harga murah berbanding dadah sintetik seperti Eramin 5 dan pil kuda yang dijual antara RM30 dan RM50 sebiji,” katanya pada sidang media selepas merasmi dan menyampaikan watikah pelantikan pegawas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chendering di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Tahir; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Matsor Ismail dan Pengetua SMK Chendering, Radziah Ismail.

Mohmad berkata, kesan pengambilan NPS menjadikan seseorang lebih berani sekali gus menimbulkan suasana jenayah yang menakutkan pada orang awam.

“Mereka yang mengambil dadah jenis ini boleh melakukan jenayah yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian pada mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 12:44 PM