HAMZAH Zainuddin. FOTO Arkib NSTP.
HAMZAH Zainuddin. FOTO Arkib NSTP.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Keputusan Persidangan Semula Sesi ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik pada 2 Disember lalu di Vienna tidak mengubah status kawalan kanabis dan bahan berkaitan kanabis dalam negara.

Persidangan pada Selasa lalu bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis dari Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kanabis dan bahan-bahan berkait kanabis kekal dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan undang-undang tetap akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan sedia ada.

"Bagi peringkat antarabangsa, keputusan Suruhanjaya Dadah Narkotik itu untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis dari Jadual IV Konvensyen 1961 juga tidak melonggarkan kawalan antarabangsa terhadap kanabis kerana ia masih kekal dikawal ketat di bawah Jadual

I Konvensyen 1961.

"Malaysia sebagai ahli dalam ketiga-tiga Konvensyen Dadah Antarabangsa iaitu Konvensyen 1961, Konvensyen Mengenai Bahan Psikotropik 1971 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Perdagangan Haram Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1988 kekal komited untuk membanteras jenayah narkotik di peringkat domestik serta global," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini hampir 70 tahun itu bertujuan mengawal selia import, eksport, pengilangan, penjualan dan penggunaan opium, dadah berbahaya dan bahan-bahan berkaitan, termasuk kanabis dan resin kanabis.

Undang-undang itu menetapkan hukuman pemenjaraan terhadap pemilikan dadah yang dijadualkan dalam akta berkenaan dan hukuman mati mandatori membabitkan kesalahan pengedaran dadah di negara ini.

Ia juga memberi pentafsiran terhadap kanabis iaitu mana-mana bahagian tumbuhan genus Cannabis, yang mempunyai resin tidak kira berapa kuantitinya serta nama yang digunakan manakala bagi resin kanabis, ia merujuk kepada resin daripada pokok genus Cannabis, sama ada dalam bentuk mentah mahupun secara tulen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 10:43 AM