Kalidevi Mogan Kumarappa


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Timbalan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu dan anaknya kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian kerja pembekalan barangan keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan.

Sumber berkata, turut ditahan seorang pemilik syarikat berusia 40 tahun antara 4.30 petang hingga dan 7 malam hari ini.

Menurut sumber, timbalan pengetua wanita berusia 48 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasanya dengan memberikan kerja pembekalan barangan keperluan pelajar yang berjumlah kira-kira RM79,000 secara rundingan terus.

Suspek dikesan melakukan perbuatan itu tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan antara 2016 dan 2017.

"Dia dikesan memberikan kerja pembekalan itu kepada anaknya yang berusia 24 tahun melalui sebuah syarikat yang dimiliki rakan anaknya.

"SPRM kini menahan ketiga-tiga mereka mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi berkata, semua suspek itu akan direman esok bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pasukan penyiasat mula menjalankan siasatan selepas mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung penyalahgunaan kuasa oleh timbalan pengetua itu.

“Pasukan penyiasat kini dalam proses merakam percakapan saksi-saksi bagi mendapatkan maklumat yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 8:46 PM