Vipha (kiri) melakonkan semula gaya penjenayah mengacukan senjata dipercayai pistol di pinggangnya dalam kejadian, malam tadi. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Vipha (kiri) melakonkan semula gaya penjenayah mengacukan senjata dipercayai pistol di pinggangnya dalam kejadian, malam tadi. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


SEORANG peniaga barang elektrik hilang pacuan empat roda yang baru tiga minggu dibeli selepas disamun dua lelaki dipercayai bersenjatakan pistol di lorong belakang deretan kedai dekat Wisma Yap Boon Yang, Tanah Merah, 8.20 malam semalam.

Ketika kejadian, Vipha Manichorte Su Long, 38, bersama pembantu kedai dan anak lelakinya berusia 13 tahun berada di lorong belakang di kawasan rumah kedai itu untuk mengambil sisa makanan itik peliharaan.

Bagaimanapun, katanya, dua lelaki menaiki Proton Wira tiba-tiba muncul dari arah belakang kenderaannya dan terus menghampiri mereka.

"Seorang suspek berbadan kecil mengeluarkan senjata dipercayai pistol dan mengacukan ke pinggang saya. Dia mengarahkan supaya kunci kenderaan jenis Toyota Hilux diserahkan.

"Disebabkan ketakutan dan bimbang keselamatan terancam, saya tunjuk kunci itu yang disimpan di dalam kereta," katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

Vipha Manichorte berkata, dia percayai penyamun itu adalah orang tempatan berdasarkan loghat percakapannya dan kejadian berlaku kira-kira lima minit.

"Kami bersyukur kerana tidak diapa-apakan walaupun agak terkilan kerana kenderaan baru dibeli tiga minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamed berkata, modus operandi digunakan suspek hampir menyamai kes kecurian kenderaan jenis sama di Machang, bulan lalu.

Katanya, usaha memburu suspek giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.

"Saya minta orang ramai supaya lebih berhati-hati di mana-mana pun berada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 7:25 PM