‘Filem aksi’ dua minit
‘Filem aksi’ dua minit
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: “Macam dalam filem aksi. Perompak berkenaan mengacukan pistol ke arah kepala pengawal keselamatan dan ‘mengunci’ pergerakannya dari belakang,” kata Lim, pekerja di sebuah pusat beli-belah di Jalan 1/149E, Bandar Sri Petaling, di sini, ketika menceritakan kejadian rompakan di sebuah kedai emas di situ, semalam.

Lim berkata, rompakan itu berlangsung dalam tempoh dua minit saja sebelum empat suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang menunggu di pintu masuk utama berhampiran kedai emas berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Saya ternampak empat lelaki memakai topeng dan tiga daripada mereka membawa tukul.

“Pada mulanya saya fikir mereka pekerja yang mahu membuat kerja baik pulih bangunan pusat beli-belah ini.

“Mereka kemudian masuk ke kedai emas berkenaan dan seorang daripada mereka menerkam ke arah pengawal keselamatan sebelum mengunci pergerakannya dari belakang dan meletakkan pistol pada kepala pengawal,” katanya.

Menurutnya, suspek yang memakai topi keledar dan bertopeng itu mengarahkan pekerja kedai emas supaya duduk dan tidak bergerak sebelum memecahkan cermin pameran.

“Salah seorang daripada mereka terpandang ke arah saya yang berada kira-kira 50 meter dari kedai emas sebelum saya melarikan diri kerana bimbang ditembak.

“Dalam masa dua minit, kumpulan itu mengambil barang kemas dari dua meja pameran sebelum melarikan diri menggunakan kereta.

“Mungkin ada seorang lagi rakan mereka sedang menunggu di dalam kereta sementara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, ketika kejadian terdapat empat pekerja wanita dan seorang pengawal keselamatan yang bersenjatakan pistol di premis itu.

“Siasatan awal mendapati suspek bersenjata pistol memukul leher pengawal keselamatan dan mengacukan pistol serta mengarahkan pengawal keselamatan tersebut meniarap di lantai sebelum tiga lagi suspek memecahkan cermin pameran dan melarikan 20 dulang emas dianggarkan bernilai RM700,000.

“Semua suspek melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan jenis Toyota Wish berwarna emas. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 9:42 AM