Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis berkas empat lelaki anggota Geng Lan Keramat yang aktif menyamun kedai serbaneka di Wangsa Maju dan Pudu.

Aktiviti mereka terbongkar selepas seorang daripada mereka ditahan di Metro Pudu, di sini, pada 2.38 pagi, 11 September lalu. Ketika itu dua daripada geng terbabit cuba menyamun kedai.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata suspek menggunakan pistol mainan meluru ke arah kaunter diselia pekerja lelaki warga Bangladesh sebelum melarikan 40 kotak rokok dan lebih RM600.

Menurutnya, dalam usaha melarikan diri kebetulan terdapat anggota polis sedang melakukan rondaan lalu bertindak menahan suspek manakala seorang lagi melarikan diri.

"Pemeriksaan ke atas suspek berusia 19 tahun terbabit mendapati dia memiliki rekod curi kenderaan sebelum ini.

"Polis merampas pistol mainan itu. Pemeriksaan selanjutnya turut menjumpai kunci Proton Wira yang dilaporkan dicuri di Wangsa Maju, Mac lalu," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, tiga lagi suspek berusia 19 hingga 22 tahun ditahan di Wangsa Maju dan Keramat, pada 12 September lalu.

"Semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 19 September ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 1:56 PM