Pistol yang ditemui di belakang rumah didiami tiga beranak di Lorong Jalan Kaltom, Kampung Pauh, di sini, semalam. FOTO IHSAN Polis
Pistol yang ditemui di belakang rumah didiami tiga beranak di Lorong Jalan Kaltom, Kampung Pauh, di sini, semalam. FOTO IHSAN Polis
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Tiga beranak ditahan pihak polis susulan penemuan sepucuk pistol di kediaman mereka di Lorong Jalan Kaltom, Kampung Pauh di sini, semalam.

Seorang lelaki berusia 34 tahun bersama ibu bapanya yang berusia 68 dan 61 tahun ditahan selepas sepucuk pistol jenis Revolver warna perak dan lima butir peluru hidup ditemui di bahagian belakang rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan itu dilakukan pada 8.30 malam oleh anggota Task Force dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

"Hasil pemeriksaan di kawasan rumah anggota bertugas menemui pistol, peluru serta komponen senjata api yang disorokkan di dalam pasu bertutup dengan plastik kuning di belakang rumah.

"Lelaki berusia 34 tahun itu yang menjalankan perniagaan rokok, beras serta pakaian seludup bersama kedua-dua orang tuanya, kemudiannya dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tujuan tindakan dan siasatan lanjut.

"Selain itu, pihak kami turut merampas tiga telefon bimbit serta dua kenderaan jenis Suzuki Swift dan Volkswagen Golf," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil semakan anak kepada pasangan suami isteri itu mempunyai 17 rekod lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah, mencuri kenderaan, cabul serta melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Siasatan kepada bapa suspek pula yang juga pesara guru menafikan bahawa pistol serta peluru terbabit miliknya dan tidak tahu akan keberadaannya dalam pasu berkenaan.

"Kejadian ini berkemungkinan besar tidak membabitkan suami isteri terbabit, namun pihak kami terpaksa membawa sama ke balai untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 4:31 PM