KEADAAN kereta mangsa yang terbabas ke landasan itu. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kereta mangsa yang terbabas ke landasan itu. FOTO Ihsan PDRM
Iskandar Shah Mohamed


LELAKI nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke landasan komuter di Kilometer 22.3 antara Batu Tiga-Shah Alam berdekatan Jalan Persiaran Tengku Ampuan, Shah Alam, 9.58 pagi hari ini.

Mangsa Nabil Haqim Mohd Redzuan, 20-an, hanya cedera di badan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang memandu Proton Wira itu datang dari arah Bulatan Megawati ke Bulatan Sejahtera.

"Bagaimanapun, kereta dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke landasan komuter yang berada kira-kira 10 meter dari persiaran berkenaan.

"Ia mengakibatkan halangan di rel komuter sebelah kiri itu dan terpaksa ditutup oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)," katanya.

Kata Shafien, kakitangan swasta itu dihantar ke Hospital Shah Alam dan menjalani pemeriksaan imbasan x-ray, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.

Sementara itu, jurucakap KTMB berkata, kejadian mengakibatkan gangguan selama dua jam sehingga kereta berkenaan dialihkan dan landasan terbabit selamat untuk digunakan semula.

"Insiden ini menyebabkan kelewatan perkhidmatan tren KTM Komuter kerana perlu beroperasi secara dua arah dengan menggunakan satu landasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 3:24 PM