Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) mengesahkan sebuah tren kargo dengan muatan tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga dekat sini, pagi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, kejadian itu menyebabkan kedua-dua landasan berdekatan Stesen Batu Tiga terhalang sepenuhnya.

"Tren yang dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke West Port, Klang tergelincir ketika melalui landasan di Kilometer 20.041 dalam kejadian kira-kira pada 6 pagi.

"Sebanyak 11 daripada 50 gerabak tergelincir, manakala 39 gerabak lagi dengan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan.

"Perkhidmatan KTM Komuter yang melalui laluan itu tidak dapat beroperasi disebabkan kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rani berkata, perkhidmatan komuter bagi laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya dan Shah Alam.

"KTMB sedang giat menjalankan pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat bagi membolehkan kerja-kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta.

"Siasatan insiden itu juga dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu berlaku," katanya.

Beliau berkata, KTMB menyediakan bas perantara kepada penumpang dari Stesen Subang Jaya ke Stesen Shah Alam dan sebaliknya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Tren barang yang tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga di Shah Alam, pagi hari ini. Foto Lizam Ridzuan
Tren barang yang tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga di Shah Alam, pagi hari ini. Foto Lizam Ridzuan

"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihak KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau media sosial, KTMB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 12:00 PM