KEADAAN kereta mangsa yang mengalami kerosakan selepas terbabas ke stesen komuter berhampiran Angkasapuri, hari ini. FOTO Kalbana Perimbanayagam
KEADAAN kereta mangsa yang mengalami kerosakan selepas terbabas ke stesen komuter berhampiran Angkasapuri, hari ini. FOTO Kalbana Perimbanayagam
Kalbana Perimbanayagam


WARGA emas cedera ringan selepas Perodua Kancil dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke stesen komuter Angkasapuri di Lebuhraya Baru Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.45 petang, kereta dipandu lelaki berusia 65 tahun turut terbalik hanya beberapa meter dari landasan.

Difahamkan, kereta dipandu mangsa seorang diri dipercayai terbabas lalu melanggar pagar besi di stesen komuter itu sebelum memasuki pekarangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu.

Mangsa yang cedera ringan kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans untuk rawatan.

Saksi kejadian dikenali sebagai Wan, 35, berkata kejadian berlaku ketika orang ramai sedang menunggu komuter di stesen berkenaan.

“Saya mendengar bunyi bising ketika sedang menunggu komuter dan menyedari kereta terbabit terbabas di pekarangan stesen ini.

“Orang ramai yang melihat kejadian kemudian membantu pemandu kereta itu yang mengalami kecederaan dengan menghubungi ambulans,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 7:43 PM