Siti Nor Hidayatidayu Razali


JENAZAH kanak-kanak lelaki yang ditemui lemas di tepi Sungai Kelantan di Kampung Raja, Palekbang, Tumpat, semalam selamat dikebumikan 12.40 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Seberang Pasir Mas, Salor, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, jenazah Alif Aiman Mohd Adli yang juga murid Sekolah Kebangsaan Seberang Pasir Mas dibawa pulang ke rumahnya 11.30 pagi di Kampung Pengkalan Feri, di sini, dari Hospital Tumpat.

Jenazah disembahyangkan di rumahnya sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, guru sekolah dan penduduk kampung.

Ayah mangsa, Mohd Adli Mohd Noor, 34, bersyukur kerana anak sulung daripada tiga beradik itu ditemui.

"Naluri sebagai bapa mahu melihat anak tersayang ditemui dalam apa juga keadaan dan kematiannya bertanda.

"Setiap hari, saya dan isteri akan ke lokasi anak terjatuh termasuk pada waktu malam selepas solat Maghrib," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini,

Menurutnya, dia mengetahui jasad anaknya ditemui selepas mendapat panggilan daripada polis 8.30 malam dan bergegas ke Hospital Tumpat untuk membuat pengecaman mayat.

Katanya, mereka berasa lega dengan penemuan itu, namun anak bongsu, Amanda Balqis, 8, terlalu rindukan abangnya kerana mereka sangat rapat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Alif Aiman terjatuh ke Sungai Kelantan di Kampung Pak Limah, Salor, Kota Bharu, 4.10 petang 3 Januari lalu ketika sedang membasuh kaki.

Selepas seminggu hilang, kanak-kanak berkenaan ditemui di tepi Sungai Kelantan di Kampung Raja, Palekbang, Tumpat, 10.15 malam semalam.

Berita berkaitan:

Alif Aiman belum dijumpai

Unit K9 bantu cari Alif

Alif hilang di Sungai Kelantan: Tiada petunjuk baru

'Allah menentukan, mayatnya ditemui malam ini...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 6:34 PM