Foto hiasan
Foto hiasan
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kes indeks membabitkan kanak-kanak kini dilihat semakin membimbangkan dan yang terbaharu seorang bayi perempuan berusia setahun menjadi punca tercetusnya Kluster Kampung Morak Palekbang di Tumpat, Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini kluster berkenaan sudah menjangkiti 34 individu.

"Kes indeks bagi kluster ini ialah bayi perempuan warganegara Malaysia berusia setahun yang mempunyai gejala sejak 22 Julai lalu.

"Kes ini kemudiannya dilaporkan positif Covid-19 pada 26 Julai dan sehingga kini seramai 51 individu yang juga kontak rapat sudah disaring.

"Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Morak di Palekbang, Tumpat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hari ini terdapat 35 kluster baharu yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang membabitkan 20 kluster komuniti, 14 di tempat kerja serta satu aktiviti keagamaan.

Mengulas mengenai kluster lain yang dikesan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, tiga kluster membabitkan aktiviti ziarah, dua disebabkan rentas negeri serta satu berpunca daripada majlis pengebumian.

Katanya, bagi kluster ziarah ketika perayaan, beliau berkata, sehingga kini ia sudah menjangkiti 92 individu. Kluster berkenaan dikenali sebagai Kluster Kampung Changgong Melawi (Kelantan), Kluster Kampung Belimbing Jeli (Kelantan) dan Kampung Belum Baru (Perak dan Kelantan).

Bagi dua kluster rentas negeri, Dr Noor Hisham berkata, ia dikenali sebagai Kampung Tanah Lot Merchang di Terengganu dan Pahang iaitu kes indeks mempunyai sejarah rentas negeri bagi menghadiri satu majlis perkahwinan dan sudah menjangkiti 43 individu.

"Kluster kedua pula dikenali sebagai Kluster Samak Melintang di Perak dan sudah menjangkiti 14 individu.

"Kluster membabitkan majlis pengebumian pula dikenali sebagai Kluster Kampung Bersia Lama di Hulu Perak yang kini sudah menjangkiti 46 individu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 9:54 PM